
Bagaimanapun, beliau berkata, kementeriannya sedang memperhalusi cadangan untuk mewujudkan skim pembiayaan perumahan yang lebih sesuai dengan keadaan semasa ekoran pandemik Covid-19.
“Antara faktor yang perlu diambil kira dalam penyediaan skim pembiayaan perumahan yang sesuai adalah seperti pembiayaan 100%, kadar faedah rendah dan tetap, serta kelonggaran kriteria untuk kelulusan pinjaman,” katanya dalam jawapan dimuat naik ke laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang meminta kerajaan menjelaskan adakah kempen HOC yang berakhir hujung tahun ini akan dilanjutkan.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, kementeriannya telah menubuhkan “Panel of Experts (POE)” terdiri daripada pakar dalam industri perumahan serta pembiayaan yang akan memperhalusi model pembiayaan lebih mampan.
“POE ini akan melihat model pembiayaan yang sesuai kepada semua golongan, khususnya golongan B40 dan M40,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan HOC didapati banyak membantu mengurangkan lambakan rumah siap dibina yang tidak terjual.
“Bagaimanapun, pasaran hartanah dijangka kekal perlahan tahun ini kerana faktor domestik dan luaran seperti kenaikan harga bahan binaan, ketidaksepadanan penawaran dan permintaan, harga tanah yang melambung tinggi serta kesan pandemik Covid-19.”
Kempen HOC yang bermula sejak 1 Jan 2019 menawarkan pengecualian duti setem kepada pembeli rumah kediaman berharga RM300,000 hingga RM2.5 juta, terhad kepada RM1 juta pertama daripada harga kediaman tersebut.
Dari Jun 2020 hingga 31 Ogos lalu, seramai 67,576 pembeli terlibat dalam HOC dengan nilai jualan sebenar berjumlah RM52.3 bilion dan nilai jualan selepas diskaun berjumlah RM43.5 bilion, sementara purata diskaun diperolehi pembeli sebanyak 16.8%.
Sepanjang pelaksanaan HOC, katanya, pengecualian duti setem sebanyak 1% mengurangkan hasil kerajaan sekitar RM400 juta hingga RM500 juta.
“Namun, dengan bantuan tersebut, kerajaan dapat membantu mengatasi lambakan rumah tidak terjual dan memastikan lebih ramai rakyat meningkat sejahtera kerana telah memiliki rumah.”