6 individu tak mengaku salah culik, pukul pasangan

6 individu tak mengaku salah culik, pukul pasangan

Kesemua tertuduh didakwa melarikan Choo Eng Hong, 27, dan isterinya Lee Chen Hwee, 33, selepas mendakwa pasangan itu menipu dalam skim pelaburan berjumlah RM9.5 juta.

Semua tertuduh tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 kanun sam. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Enam individu didakwa di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menculik dan memukul pasangan itu, minggu lalu.

Tertuduh, Moe Chern Wei, 29; Fong Chong Yong, 25; Seow Kwee Chiew, 50; Chong Siow Chiew, 46; Kua Siew Mei, 37, dan Siah Soon Siong, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja empat pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kesemua tertuduh secara bersama-sama didakwa melarikan Choo Eng Hong, 27, dan isterinya Lee Chen Hwee, 33, dengan niat dikurung secara rahsia dan salah selepas mendakwa pasangan itu menipu dalam skim pelaburan berjumlah RM9.5 juta.

Menurut laporan Utusan Online, perbuatan itu dilakukan antara jam 2 hingga 3 petang di hadapan sebuah rumah di Taman Malim Jaya pada 8 Dis lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan didenda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, kesemua tertuduh turut didakwa memukul pasangan suami isteri itu menggunakan sebatang kayu sehingga cedera.

Bagi kesalahan itu, kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 324 kanun sama yang boleh dipenjara hingga tiga tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripadanya..

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam, 8 Dis sehingga 8 pagi, 9 Dis di belakang sebuah bengkel di Taman Malim Jaya, dalam daerah Melaka Tengah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin manakala tertuduh diwakili Peguam JJ Lee.

Kesemua tertuduh merayu agar jaminan diberikan dengan alasan mereka mempunyai keluarga dan pekerjaan di negeri ini, malah mendakwa masih menanggung hutang selepas ditipu pasangan itu dalam pelaburan menyebabkan mereka rugi.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan ikat jaminan dan menetapkan tarikh 18 Januari tahun hadapan sebagai sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.