
Timbalan Menterinya, Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata 16.4% daripadanya pula menyatakan mereka mengalami kesulitan untuk membeli produk pengurusan haid itu.
“Kajian rintis ini dilaksanakan melibatkan remaja perempuan dan wanita berusia 13 hingga 24 tahun di 13 komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan dua institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan Senator T Mohan yang ingin tahu keadaan sebenar masalah kemiskinan haid di negara ini serta rancangan jangka panjang kerajaan dalam mengatasi masalah tersebut.
Kemiskinan haid merujuk kepada situasi apabila perempuan atau keluarga mereka tidak mampu memiliki tuala wanita disebabkan kekangan kewangan.
Bagi mengatasi masalah itu, Siti Zailah berkata KPWKM mengadakan program kesedaran dan program pemberian kit kebersihan kepada 130,000 remaja selain program pekerti sebagai usaha mendidik remaja tentang pendidikan kesihatan.
“Program pengagihan (kit pengurusan haid) dilaksanakan ini melibatkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun melalui sekolah yang melibatkan 1,105 sekolah di seluruh negara,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, KPWKM turut mengadakan program bagi membantu golongan remaja mengurus rutin kebersihan serta kesihatan fizikal dan mental terutama semasa pandemik Covid-19.