‘Rakyat belum pulih’, Zahid gesa sambung pengeluaran i-Citra

‘Rakyat belum pulih’, Zahid gesa sambung pengeluaran i-Citra

Presiden Umno berkata rakyat sedang memulihkan ekonomi keluarga yang terjejas akibat Covid-19.

Melalui i-Citra, 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.
PETALING JAYA:
Umno menggesa kerajaan menyambung skim i-Citra di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sepatutnya berakhir bulan ini memandangkan rakyat masih dalam proses memulihkan ekonomi keluarga masing-masing yang terjejas akibat Covid-19.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, majoriti rakyat menaruh harapan agar Menteri Kewangan memenuhi permintaan mereka supaya menyambung skim i-Citra.

“Pencarum mempunyai simpanan mencukupi wajar dibenarkan membuat pengeluaran sekali lagi. Sekurang-kurangnya mereka mampu bertahan sedikit masa lagi dengan harapan keadaan akan bertambah baik selepas itu,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, pada masa kini, kesannya bukan sahaja mempengaruhi ekonomi negara, malah ekonomi rakyat juga.

“Sudah tentu ia mengambil masa untuk pulih sepenuhnya. Kerajaan baharu kini dalam usaha memulihkan kewangan begitu juga rakyat kebanyakan,” katanya.

Mengenai moratorium pinjaman yang juga berakhir bulan ini, Zahid berkata, tidak semua rakyat bersedia untuk kembali membayar komitmen mereka.

“Masih ada yang belum mendapat pekerjaan stabil, mereka berniaga juga belum memperoleh keuntungan dan sebagainya.

“Kesan pandemik Covid-19 dan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) suam-suam kuku ternyata memberi implikasi ekonomi yang sangat teruk,” katanya.

Sebelum ini kerajaan membenarkan pencarum membuat pengeluaran i-Citra RM5,000 bermula Ogos lalu bagi meringankan beban rakyat akibat penularan Covid-19.

Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021 sebagai inisiatif jangka pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19 serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.

Menerusi kemudahan i-Citra, 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.