Pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk ujian saringan Covid-19

Pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk ujian saringan Covid-19

Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah berkata ia antara peruntukan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2021.

Pindaan itu turut memasukkan peruntukan perbelanjaan bagi pemeriksaan kesihatan mental atau konsultasi oleh individu untuk diri sendiri, pasangan atau anak, kata Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah.
PETALING JAYA:
Pelepasan cukai sehingga RM1,000 kepada individu yang melakukan ujian pengesanan Covid-19 termasuk ujian pengesanan kendiri oleh individu untuk diri sendiri, pasangan atau anak adalah antara peruntukan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2021.

Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah dipetik Bernama berkata ia terkandung di bawah pindaan Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pindaan ini berkuat kuasa bagi tahun taksiran 2022 dan 2023,” katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mohd Shahar berkata pindaan itu turut memasukkan peruntukan perbelanjaan bagi pemeriksaan kesihatan mental atau konsultasi yang dilakukan oleh seseorang individu untuk diri sendiri, pasangan atau anak.

Pada 9 Nov lepas, Mohd Shahar membentangkan RUU tersebut untuk bacaan kali pertama yang melibatkan pindaan ke atas lapan akta untuk melaksanakan langkah Bajet 2022.

Ia melibatkan Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Akta Kewangan 2012 dan Akta Kewangan 2018.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.