Kes buli MRSM: 10 pelajar ditamatkan pengajian

Kes buli MRSM: 10 pelajar ditamatkan pengajian

Ketua Pengarah Mara Azhar Abdul Manaf berkata tindakan terhadap semua pelajar terbabit berkuat kuasa hari ini.

Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terbabit dalam kes buli itu ditamatkan pengajian mereka, kata Ketua Pengarah MARA Azhar Abdul Manaf.
PETALING JAYA:
Sepuluh pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dikenal pasti terbabit dalam kes buli yang tular baru-baru ini telah ditamatkan pengajian mereka berkuat kuasa hari ini, kata Ketua Pengarah MARA Azhar Abdul Manaf.

Azhar berkata keputusan itu diambil selepas Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) mengadakan mesyuarat bagi meneliti dan membuat pertimbangan berhubung kes terbabit.

“MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu dan hukuman ini menunjukkan kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan yang dilakukan di kalangan pelajar membabitkan mana-mana Institusi Pendidikan MARA, IPMA mahupun tajaan MARA,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, ibu bapa pelajar terbabit telah dimaklumkan mengenai keputusan jawatankuasa berkenaan dan ia dilakukan berdasarkan garis panduan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

“Kita berharap keputusan ini bukan hanya menjadi pengajaran kepada mereka tetapi pelajar lain juga. Sudah tentu MARA ingin melahirkan modal insan yang bukan hanya cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima masyarakat,” katanya.

Tambahnya, MARA komited dalam menangani kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah selain melakukan pemantauan berterusan terhadap aktiviti pelajar termasuk proses pembelajaran dalam kelas bagi mengelakkannya berulang.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid, berkata hasil siasatan mendapati kejadian buli itu berpunca daripada tindakan mangsa yang menegur suspek supaya tidak menonton video lucah.

Katanya, mangsa berusia 13 tahun menegur kelakuan tidak bermoral yang dilakukan salah seorang suspek menyebabkan pelajar berkenaan tidak berpuas hati dan marah.

“Kita telah menemu bual mangsa dan kita dapati punca pergaduhan atau mengapa dia dibuli itu adalah kerana dia telah menasihati salah seorang suspek supaya jangan menonton video lucah di telefon (bimbit).

“Mangsa juga mengatakan akan mengadu kepada guru atau warden sekiranya suspek tidak berhenti menonton video lucah itu.

“Daripada siasatan, dikatakan inilah antara punca mengapa mereka bertindak memukul dan membuli mangsa,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, pergaduhan itu pada awalnya hanya melibatkan mangsa dan seorang suspek, namun seorang pelajar Tingkatan Tiga telah bertindak menyuruh rakan-rakan lain menyerang mangsa.

“Pelajar berusia 15 tahun ini juga antara salah seorang yang ditangkap dan dia dikatakan telah mengarahkan enam pelajar lagi untuk memukul dan menendang mangsa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.