IWK cadang naik tarif pembetungan, kata menteri

IWK cadang naik tarif pembetungan, kata menteri

Cadangan kenaikan pertama adalah minima dan tidak akan membabitkan pelanggan kategori domestik rumah kos rendah dan kampung.

Salah satu cabaran utama dihadapi pihak IWK ketika ini ialah peningkatan kos operasi dan penyenggaraan loji rawatan kumbahan serta rangkaian sistem pembetungan awam.
PETALING JAYA:
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sudah meneliti cadangan untuk menaikkan tarif atau caj perkhidmatan pembetungan oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Menterinya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, cadangan kenaikan pertama itu adalah minima dan tidak akan membabitkan pelanggan kategori domestik rumah kos rendah dan kampung.

“Salah satu cabaran utama dihadapi pihak IWK ketika ini ialah peningkatan kos operasi dan penyenggaraan loji rawatan kumbahan serta rangkaian sistem pembetungan awam. Tarif pembetungan sedia ada yang tidak pernah disemak sejak tahun 1994 dan tidak lagi mampu menampung kos operasi IWK yang meningkat setiap tahun.

“Sebagai contoh perbandingan, kos operasi sebenar bagi setiap premis domestik bersambung ke loji rawatan kumbahan awam ialah RM17/sebulan berbanding tarif sedia ada iaitu cuma RM8/sebulan bagi kategori premis sama. Ini tidak termasuk kos bagi pembinaan loji dan rangkaian paip pembetungan baharu,” katanya menerusi jawab lisan di Dewan Negara.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Zaiedi Suhaili, yang meminta menteri menyatakan hasil kajian kenaikan tarif atau caj perkhidmatan pembetungan agar pemuliharaan sumber air negara lebih berkesan dan rakyat lebih prihatin dalam menjaga kebersihan alam sekitar dan sisa kumbahan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, bagi pelanggan perkhidmatan menyah enap cemar tangki septik pula, bayaran secara ansuran akan diperkenalkan bagi memberikan ruang kepada mereka menguruskan aliran tunai serta meringankan beban kewangan semasa.

“Selain itu, pengenalan rebat untuk kedua-dua perkhidmatan juga akan diberikan perhatian bagi meringankan beban kewangan bagi golongan sasar yang memerlukan,” katanya.

Katanya, susulan cadangan tersebut satu sesi rundingan awam dijalankan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada 9 hingga 23 Nov lalu bagi mendapatkan maklum balas daripada pengguna di mana lebih 80% daripada 2,350 responden mengambil bahagian bersetuju dengan cadangan pelarasan tarif dicadangkan.

“Maklum balas rakyat ini perlu diambil kira bagi memastikan kenaikan yang dicadangkan tersebut tidak membebankan rakyat dan pada masa yang sama dapat membantu memastikan alam sekitar kekal bersih dan terjamin,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.