Bajet 2022: RM14.2 bilion talian hayat untuk PKS

Bajet 2022: RM14.2 bilion talian hayat untuk PKS

Dana itu boleh membantu PKS meneroka peluang perniagaan dalam talian.

PKS berdepan masalah mendapatkan pinjaman bank. Dana yang diperuntukkan untuk PKS dalam Bajet 2022 amat membantu kelangsungan perniagaan.
PETALING JAYA:
Bajet 2022 memberi talian hayat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas teruk kerana pandemik Covid-19.

Ketika pandemik melanda, PKS menyaksikan penurunan hasil jualan dan aliran tunai yang ketat. Pengusaha berdepan kekurangan tenaga kerja dan sukar mendapatkan teknologi untuk mendigitalkan perniagaan.

Dana RM14.2 bilion disediakan dalam Bajet 2022 seperti “talian hayat” kepada PKS, kata Pensyarah Ekonomi Kanan Goh Lim Thye di Universiti Malaya.

“Dengan geran ini mereka akan boleh selesaikan masalah aliran tunai.”

Goh berkata, pandemik menunjukkan betapa pentingnya perniagaan berniaga dalam talian, dan geran pendigitalan sebanyak RM200 juta akan membantu kerana ia akan menggalakkan PKS meneroka peluang itu.

Daripada RM200 juta itu, RM50 juta diperuntukkan untuk mendigitalkan usahawan mikro Bumiputera di luar bandar.

Goh menarik perhatian kepada kepesatan beli-belah dalam talian yang menyaksikan platform seperti Lazada dan Shopee menjaga jualan berluasan dalam beberapa tahun kebelakangan, terutama semasa musim promosi.

Menurut Shopee, jualan 11.11 tahun ini menyaksikan 2 bilion barangan terjual, yang bagi Goh membuktikan PKS harus mengorak langkah pendigitalan itu.

Katanya lagi, industri e-dagang tahun lalu menjana hasil sebanyak RM896.4 bilion meskipun pandemik melanda. Angka itu merupakan peningkatan sebanyak 32.7%, berbanding RM675.4 bilion yang dilaporkan pada 2019.

Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Sri Ganesh Michiel, berkata pendigitalan boleh membantu PKS mempercepatkan pemulihan ekonomi masing-masing.

“Tetapi setiap langkah pendigitalan perlu dikawal selia secara ketat bagi memastikan keuntungan perniagaan bertumbuh,” katanya.

“Kami mencadangkan kerajaan memperkenalkan belanjawan khas untuk pelbagai industri, mengikut keperluan masing-masing.

“Ini kerana industri-industri berkenaan mempunyai masalah tersendiri dalam tempoh pemulihan ini.”

Beliau berkata, pemilik PKS ketika ini berdepan aliran tunai yang ketat tetapi sukar mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan. Mengambil orang tempatan bekerja untuk jawatan tertentu juga merupakan satu lagi isu.

Pandangan FMBA itu seiring dengan keyakinan Goh terhadap pinjaman bagi PKS yang disediakan dalam Bajet 2022.

Ahli ekonomi itu berkata, pemilik PKS bukan saja bimbang tidak mampu menanggung pinjaman, tetapi juga akses kepada pinjaman.

“Tetapi dengan peruntukan Bajet 2022 ini, sekurang-kurangnya pemilik PKS tahu sebagai langkah terakhir akan boleh mendapatkan geran atau pinjaman untuk membiayai operasi mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.