
PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang tidak pernah hadir ke sidang Dewan Negara ditegur Speaker, Dr Rais Yatim yang meminta supaya “menyampaikan salam” kepadanya.
Menurut laporan Utusan, teguran itu dibuat ketika Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin bangun untuk menjawab soalan lisan.
“Nak komen sikit sahaja. Yang Berhormat menteri tidak pernah datang ke Dewan, sampaikan salam,” sindir Rais dan disambut dengan gelak kecil Senator lain.
Jonathan sebagai respons dalam nada yang lebih serius menjawab: “Saya akan sampaikan pesan itu Tan Sri”.
Beliau kemudiannya meneruskan untuk menjawab soalan lisan tersebut.
Jonathan ketika itu diminta menjawab soalan berkait penakrafan warga Malaysia oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dibangkitkan oleh Senator Aziz Arifin.