
Beliau berkata, keputusan menukar kerusi adalah sebahagian daripada strategi pilihan raya DAP dan dakwaan “melarikan diri” hanya propaganda daripada Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).
“Ketika saya pindah dari Bandar Kuching ke Stampin pada pilihan raya umum 2018 (sebagai Ahli Parlimen), mereka juga dakwa saya melarikan diri kerana takut berdepan pengundi di Bandar Kuching,” katanya.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, baru-baru ini dilaporkan mendakwa Chong “melarikan diri” selepas beliau gagal memberikan khidmat kepada rakyat, terutama ketika 22 bulan menjadi Timbalan Menteri Persekutuan.
Chong yang kini bertanding di kerusi Padungan berkata, calon lawannya dari GPS, Wee Hong Seng yang merupakan Datuk Bandar Kuching adalah pencabar yang kuat dan pertembungan di Padungan bukan satu yang mudah disebabkan Wee juga memiliki sokongan yang kuat.
“Pada masa sama, terdapat banyak parti pembangkang, di mana akan membawa kepada perpecahan undi. Satu kelebihan adalah beberapa ahli pembangkang adalah daripada Barisan Nasional (BN), jadi ini juga boleh menarik undi daripada parti itu,” tambah beliau.
Katanya, undi yang diberikan kepada Wee akan “sia-sia” kerana beliau boleh menyelesaikan isu rakyat sebagai Datuk Bandar.
“Beliau sudah mempunyai platform untuk membawa suara rakyat kepada kerajaan negeri. Tiada nilai tambah bagi beliau sebagai ADUN,” katanya.
Kerusi Padungan bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Chong, Wee, Lina Soo dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dan Raymond Thong dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Proses mengundi pada PRN Sarawak akan berlangsung pada 18 Dis dengan pengundian awal diadakan pada 14 Dis.