Salahkah pertikai harga barang naik? soal pemimpin DAP

Salahkah pertikai harga barang naik? soal pemimpin DAP

Calon pilihan raya negeri Sarawak Kelvin Yii berkata, dua papan iklan telah diturunkan kerana didakwa ‘mempromosikan rasa benci atau sengketa'.

Papan iklan mengenai kemenangan pilihan raya umum 2018 oleh Pakatan Harapan diturunkan Suruhanjaya Pilihan Raya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Calon pilihan raya negeri (PRN) Sarawak Dr Kelvin Yii dari DAP memprotes tindakan menurun dua papan iklan parti itu di Batu Kawah, melibatkan kenaikan harga barang dan kes mahkamah terhadap Najib Razak.

Yii, yang bertanding di Batu Kawah, mengongsikan video di Facebooknya menunjukkan sekumpulan lelaki menurunkan papan iklan itu yang menyatakan rakyat menderita kerana pemerintah, Gabungan Parti Sarawak tidak dapat mengawal harga barangan yang semakin naik.

Beliau turut mengongsikan video kedua, menunjukkan satu lagi papan iklan yang mengatakan kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum (PRU) pada 2018 membawa kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor didakwa di mahkamah, penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), dan peruntukan lebih adil untuk sekolah beraliran Cina.

Yii berkata, pegawai pilihan raya memaklumkannya tindakan diambil terhadap papan iklan itu di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya kerana “mempromosikan rasa benci atau sengketa”.

“Walaupun kami berulang kali cuba meyakinkan mereka, mereka tetap berkeras. Mereka memotong papan iklan kami menggunakan gergaji rantai,” katanya.

Dalam hantaran lain, beliau mempertikaikan bagaimana menyatakan hakikat bahawa harga barangan telah meningkat dan gagal dikawal kerajaan boleh dianggap kesalahan pilihan raya.

Minggu lalu, Presiden Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Lina Soo diarahkan menurunkan papan iklan mempromosikan pemisahan Sarawak dari Malaysia, yang dianggap SPR sebagai bersifat “provokatif”.

Papan iklan berkenaan menunjukkan gunting “memotong” Sarawak dari Semenanjung Malaysia dengan mesej supaya rakyat Sarawak “bangun”.

PRN Sarawak berlangsung Sabtu ini dengan undian awal diadakan esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.