RUU Hak Cipta: Denda sehingga RM200,000, penjara 20 tahun bagi pesalah teknologi penstriman

RUU Hak Cipta: Denda sehingga RM200,000, penjara 20 tahun bagi pesalah teknologi penstriman

Ia antara antara subseskyen baharu dalam Rang Undang-Undang Hak Cipta (Pindaan) 2021 yang dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Rang undang-undang bagi meminda Akta Hak Cipta 1987 itu dibentangkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Rosol Wahid. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Denda sehingga RM200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun bagi mereka yang melakukan kesalahan berkaitan teknologi penstriman adalah antara subseskyen baharu dalam Rang Undang-Undang (RUU) Hak Cipta (Pindaan) 2021 yang dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut RUU itu, seseorang boleh melakukan atau memudahkan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya antaranya dengan membuat suatu teknologi penstriman termasuk untuk dijual atau disewakan serta mengimport suatu teknologi penstriman.

Individu yang melanggar subseskyen itu boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000, atau penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, menurut laporan Bernama.

Rang undang-undang bagi meminda Akta Hak Cipta 1987 itu dibentangkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Rosol Wahid.

Beliau turut membentangkan dua lagi RUU bagi bacaan kali pertama di bawah kementeriannya iaitu RUU Petunjuk Geografi 2021 dan RUU Paten (Pindaan) 2021.

RUU Petunjuk Geografi 2021 digubal bagi perlindungan dan pendaftaran petunjuk geografi berhubung barang dan untuk melaksanakan triti berkaitan, serta bagi perkara yang berhubung dengannya.

Petunjuk geografi (GI) adalah tanda yang digunakan pada produk yang mempunyai asal geografi tertentu dan memiliki sifat atau reputasi yang disebabkan oleh asal itu.

RUU tersebut antaranya membolehkan pemilik memohon untuk mendaftarkan suatu petunjuk geografi bagi apa-apa barang dalam bentuk sebagaimana yang ditentukan oleh pendaftar bersama dengan pembayaran yuran yang ditetapkan.

RUU Paten (Pindaan) 2021 pula dibentang antaranya bagi membolehkan keluaran proses mikrobiologi dijadikan reka cipta yang dapat dipatenkan.

Ia juga membolehkan kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri mempunyai hak mempatenkan reka cipta mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.