Kutipan hasil meningkat RM210.4 bilion hingga Nov, kata PM

Kutipan hasil meningkat RM210.4 bilion hingga Nov, kata PM

Semakan semula defisit bagi tahun 2021 iaitu 6.5% daripada keluaran dalam negara kasar akan dapat dicapai dan Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangannya.

Ismail Sabri Yaakob berkata berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022 serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 6% daripada KDNK.
KUALA LUMPUR:
Kutipan hasil kerajaan mencatatkan peningkatan sebanyak 8.9% kepada RM210.4 bilion manakala jumlah perbelanjaan meningkat 4.9% kepada RM307.6 bilion sehingga Nov 2021, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang bermesyuarat hari ini berpandangan bahawa semakan semula defisit bagi tahun 2021 iaitu 6.5% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) akan dapat dicapai dan Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan ini.

“Berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022 serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 6% daripada KDNK,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat FPC ke-3 itu, hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidin @ Hamidon dan Gabenor Bank Negara, Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Ismail berkata, inisiatif pembaharuan institusi terutama pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Perbelanjaan Awam (PER) merupakan langkah dasar utama dalam menyokong usaha ini.

Perancangan fiskal dalam jangka sederhana, Inisiatif pembaharuan fiskal

Menurutnya, dalam jangka sederhana kerajaan kekal komited terhadap sasaran defisit seperti yang digariskan bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) iaitu 3.5% berbanding KDNK pada 2025.

“Ke arah ini, Jawatankuasa telah meneliti beberapa cadangan yang akan menambah baik kedudukan kewangan negara dan kemampanan fiskal setelah ekonomi kembali ke trajektori pertumbuhan sebelum pandemik Covid-19 melanda negara,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Perdana Menteri berkata, agenda pemulihan yang mampan akan diselaraskan dengan inisiatif di bawah RMK12 dan kesemua usaha ini bertumpu kepada pembangunan teknologi tinggi, inovasi dan kemampanan dalam sektor berpotensi pertumbuhan tinggi yang dirangka bagi memangkin ekonomi inklusif dan berdaya saing untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia.

“Secara keseluruhannya, usaha membantu seluruh Keluarga Malaysia akan diteruskan, di samping memastikan kemampanan kedudukan kewangan Kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.