Kecewa dengan calon, SUPP Kuching bubar jentera pilihan raya Padungan

Kecewa dengan calon, SUPP Kuching bubar jentera pilihan raya Padungan

Mereka mendakwa, calon parti itu untuk kerusi itu tidak pernah dicadangkan langsung oleh SUPP Kuching.

Wee Hong Seng telah dinamakan untuk bertanding di kerusi itu tetapi cawangan Kuching berkata mereka telah diberitahu bahawa Jong Yean Pin yang sepatutnya diletakkan untuk bertanding.
PETALING JAYA:
Pertikian dalaman mengenai calon diletakkan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan mengakibatkan jentera pilihan raya DUN berkenaan dibubarkan.

Parti itu telah menamakan Wee Hong Seng sebagai calon untuk kerusi DUN berkenaan.

Pengerusi SUPP Kuching Lily Yong berkata, bahagian itu telah mencadangkan dua nama kepada kepimpinan parti dan presiden parti Dr Sim Kui Hian kemudiannya mengesahkan seorang daripada mereka, Jong Yean Pin, sebagai calon.

Bagaimanapun, nama-nama lain telah dimasukkan ke dalam senarai calon berpotensi pada hari berikutnya, termasuk seorang yang bukan ahli bahagian itu, lapor Borneo Post.

“Ini bertentangan dengan perlembagaan parti dari segi kelayakan untuk menjadi calon atas tiket SUPP. SUPP Kuching amat kecewa dan rasa tertipu.

“Pertukaran calon pada saat-saat akhir oleh pemimpin parti telah menyebabkan kekacauan dalam jentera pilihan raya cawangan. Ramai petugas yang kecewa. Kita tiada pilihan selain membubarkan jentera pilihan raya cawangan,” katanya pada satu majlis anjuran bahagian itu hari ini.

Yong berkata bahagian itu juga telah dimaklumkan bahawa dua calon yang disyorkannya telah diserahkan kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg untuk beliau membuat keputusan mengenai penama terakhir.

Tambahnya, Abang Johari telah menyatakan beliau tidak campur tangan dalam pemilihan calon Padungan dan hanya akan campur tangan sekiranya terdapat sebarang kontroversi berhubung perkara itu.

“Sekarang, siapa yang bercakap benar. Mengenai isu ini, kami memilih untuk percaya kepada Abang Johari,” katanya sambil menambah SUPP cawangan Kuching akan terus menyokong beliau dalam menerajui GPS.

Beliau berkata bahagian parti sering kali bertanya kepada Sim mengenai keputusan pencalonan tetapi dia gagal menjawab secara langsung dan “agak kabur terhadap pertanyaan kami”.

Bagaimanapun, beliau menggesa ahli cawangan untuk bersama-sama memperbetulkan amalan tidak wajar dalam parti dan menjaga proses membuat keputusan parti secara kolektif.

“Kami akan tetap dengan apa yang kami katakan dan lakukan. Parti hanya akan maju lebih jauh jika kita menghormati dan bertindak mengikut perlembagaan parti kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.