Inisiatif kewangan Bajet 2022 akan bantu M40 bertahan, kata ahli ekonomi

Inisiatif kewangan Bajet 2022 akan bantu M40 bertahan, kata ahli ekonomi

Seorang ahli ekonomi berkata banyak orang dalam kumpulan berpendapatan menengah jatuh miskin.

Bantuan tunai memastikan isi rumah yang terkesan mempunyai wang secukpunya untuk keperluan harian.
PETALING JAYA:
Bantuan kewangan untuk kumpulan M40 bawah Bajet 2022 boleh membantu menangani keperluan khusus golongan berpendapatan menengah dan pemulihan mereka, kata ahli ekonomi.

Di samping bantuan tunai RM800 secara terus kepada penerima M40, kerajaan juga memperkenalkan insentif cukai untuk peranti mudah alih, perkhidmatan kesihatan mental, penjagaan harian kanak-kanak, kenderaan elektrik, dan pelancongan domestik.

Turut diperkenalkan diskaun pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional sehingga 15%, pelepasan cukai keuntungan harta tanah bagi pemilik yang layak, dan pengekalan kadar caruman minimum KWSP yang direndahkan ke 9%.

Pemangku pengarah penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Ya Shin, berkata penderitaan golongan M40 mesti diberi perhatian di samping golongan B40 yang paling teruk terjejas ketika wabak.

“Cabaran yang dihadapi M40 dan B40 tak sama. Banyak orang dalam kumpulan M40 jatuh miskin ketika ini,” katanya.

Beliau berkata gandingan insentif cukai dan bantuan tunai memmberikan beberapa manfaat kepada penerima.

“Pelepasan cukai merupakan insentif yang lebih langsung berbanding bantuan tunai. Ia menghalakan perbelanjaan ke arah barangan yang disasarkan kerajaan. Penerima bantuan tunai pula boleh membelanjakan duit itu untuk membeli apa sahaja, termasuk barangan bukan keperluan.

“Kelebihan bantuan tunai pula ia langsung, cepat, dan membolehkan penerima menentukan sendiri bagaimana untuk membelanjakan duit itu.”

Beliau menambah mengekalkan caruman minimum KWSP pada 9% membanyakkan lagi pendapatan boleh guna pekerja dalam jangka masa pendek, walaupun pada kemudian hari ini akan mengurangkan jumlah simpanan untuk persaraan.

Yeah Kim Leng, seorang profesor ekonomi di Universiti Sunway, berkata bantuan langsung tunai merupakan langkah jangka masa pendek yang positif.

“Bantuan tunai merupakan langkah yang baik untuk memastikan isi rumah terkesan mempunyai wang secukupnya untuk keperluan harian, kerana ini mengenai kelangsungan mereka.”

Beliau berkata gandingan bantuan tunai dengan pelepasan cukai boleh membantu kuasa membeli golongan M40, namun beliau menasihatkan mereka yang boleh memohon insentif itu jangan sembarangan menggunakannya.

“Pelepasan cukai ini memberi kelegaan secara sekali beri. Tetapi ia akan jadi pembaziran, misalnya, seseorang itu beli peranti baharu yang lagi canggih sedangkan yang sedia ada sudah memadai.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.