Dewan Rakyat lulus Bajet 2022

Dewan Rakyat lulus Bajet 2022

Rang Undang-Undang itu diluluskan setelah melalui 13 hari tempoh perbahasan dan penggulungan bermula 22 Nov bagi setiap kementerian terlibat.

Menurut takwim Dewan Rakyat, persidangan yang akan berlangsung sehingga Khamis ini diteruskan dengan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa.

Rang Undang-Undang itu yang merupakan belanjawan pertama bawah kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob diluluskan setelah melalui 13 hari tempoh perbahasan dan penggulungan bermula 22 Nov bagi setiap kementerian terlibat.

Bajet 2022 yang dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 29 Okt lepas, menyediakan peruntukan keseluruhan berjumlah RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah belanjawan negara dengan matlamat memulihkan ekonomi kesan pandemik Covid-19.

Dewan Rakyat meluluskan Bajet 2022 di peringkat dasar pada 18 Nov selepas dibahaskan selama tujuh hari bermula 1 Nov, dan melalui sesi penggulungan mulai 15 Nov.

Menurut takwim Dewan Rakyat, persidangan yang akan berlangsung sehingga Khamis ini diteruskan dengan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Persidangan esok dijangka melibatkan pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 selepas bacaan kali pertama pada 3 Nov, antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:

(a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.