BNM ‘terlebih bayar’ untuk beli tanah kerajaan, kata PAC

BNM ‘terlebih bayar’ untuk beli tanah kerajaan, kata PAC

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkata hasil jualan tanah bernilai RM2.07 bilion kepada BNM itu digunakan untuk tujuan membayar balik hutang 1MDB.

PETALING JAYA:
Bank Negara Malaysia (BNM) “terlebih bayar” untuk pembelian sebidang tanah kerajaan yang tidak pernah dirancangnya sebelum ini, kata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini.

Dalam laporan mengenai pembelian tanah dikenali sebagai Lot 41, PAC berkata hasil jualan bernilai RM2.07 bilion kepada BNM itu digunakan untuk tujuan membayar balik hutang 1MDB.

Ia berkata penilaian secukupnya yang tidak dilaksanakan mengenai pembelian itu turut membangkitkan keraguan sama ada BNM diberi tekanan untuk membeli tanah berkenaan.

BNM telah melakukan pembelian lot tanah itu pada Disember 2017.

“BNM tidak pernah merancang untuk membeli Lot 41 sebelum tawaran dibuat oleh Kementerian Kewangan.

“Perancangan perolehan tanah Lot 41 tidak wujud dalam perancangan strategik tahunan BNM bagi tempoh 2015 hingga 2017 walaupun ia menyatakan tujuan pembelian adalah untuk membangunkan hab pendidikan perkhidmatan kewangan bagi jangka masa panjang,” kata laporan itu.

PAC juga berkata harga berjumlah RM2.07 bilion berdasarkan penilaian dilaksanakan oleh Tetuan Suleiman & Co adalah sangat tinggi.

Ia juga menyatakan ia dinilai pada harga sekitar RM1.42 bilion oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) berdasarkan status hak milik sedia ada.

Katanya, pembayaran harga perolehan itu adalah tidak wajar dilakukan tanpa penukaran status Kategori Kegunaan Tanah.

PAC menggesa BNM segera menyelesaikan isu penukaran itu dan memuktamadkan rancangan rapi untuk mengoptimumkan penggunaan tanah terbabit.

Menurutnya, adalah penting supaya BNM mampu membuat keputusan berkait pelaburan dan pembangunannya dengan bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Menurut laporan Ketua Audit Negara tahun lalu, kelewatan dalam pembangunan Lot 41 telah mengakibatkan kerugian pulangan pelaburan sehingga RM124.58 juta sejak pembelian tanah itu dibuat.

Laporan audit mendapati bahawa isu sempadan dalam kawasan tanah seluas 55.79 ekar itu masih tidak dapat diselesaikan antara bank pusat dan penduduk sementara yang lain, menyebabkan usaha menjadikan kawasan itu sebagai hab pendidikan terhalang tambahan pula kedudukannya berhampiran kompleks Sasana Kijang dan Sekolah Perniagaan Asia.

Semakan Audit juga mendapati percanggahan kadar sewa dalam kalangan penyewa tanah ketika ini telah mengakibatkan lebih banyak kerugian dalam pendapatan sewa berjumlah RM7.56 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.