
R Ganesan mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas semua 14 pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh berusia 35 tahun yang ketika itu bekerja sebagai pegawai penasihat kewangan didakwa menerima wang tunai keseluruhannya berjumlah RM3.41 juta daripada 12 individu yang ia adalah hasil daripada aktiviti haram.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Taman Inderawasih Perai di Butterworth antara 22 Ogos 2017 hingga 7 Okt 2019, menurut laporan Berita Harian.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).
Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh diwakili peguam, Pyara Singh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM140,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes.