Aset Sajat dilelong esok

Aset Sajat dilelong esok

Berdasarkan perisytiharan jualan dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 8 Dis lalu, lelongan awam akan dilaksanakan di rumah usahawan kosmetik itu di Kota Damansara.

Lelongan awam itu akan dilaksanakan di rumah Nur Sajat di premis No 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Lelongan awam membabitkan aset usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang disita mahkamah dua minggu lalu akan dilakukan 10.30 pagi esok.

Berdasarkan perisytiharan jualan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 8 Dis lalu, lelongan awam itu akan dilaksanakan di rumah usahawan berkenaan di premis No 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

“Pihak defendan tidak membuat pembayaran selepas writ penyitaan dan penjualan ditampal di premis Muhammad Sajjad pada 14 Dis lalu.

“Maka, mahkamah meluluskan permohonan plaintif agar semua barang yang disita supaya dilelong esok,” kata Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zukifili daripada firma guaman NHA Advocates & Solicitors iaitu peguam kepada plaintif, OWA Resources Sdn Bhd, menurut laporan Berita Harian.

Nurwati Hussin, 41, dan Mohamed Syakir Hussin, 32, daripada OWA Resources iaitu bekas stokis utama perniagaan bengkung milik Sajjad cuba mendapatkan semula wang mereka selepas pampasan sebanyak RM200,000 gagal dibayar usahawan itu.

Lelongan aset itu adalah cara penyelesaian bagi menebus pampasan yang perlu dibayar oleh defendan.

Nurwati dan Muhammad Syakir bersyukur kerana nama mereka sudah dibersihkan dan diberi peluang menetapkan kebenaran berhubung apa sebenarnya berlaku.

Mereka turut lega apabila pembohongan dan fitnah yang dilemparkan Sajjad kini diketahui semua dan hanya satu helah melalui manipulasi fakta.

Kedua-dua plaintif menegaskan tidak pernah memfitnah Sajjad, sebaliknya mereka menjadi mangsa fitnah.

“Keputusan mahkamah adalah testimoni yang sistem perundangan negara bersetuju dengan hujahan dan bukti yang dibentang pihak plaintif,” kata Nurul Hafidzah.

Orang ramai yang ingin membeli senarai barang dilelong boleh mengunjungi alamat dinyatakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.