Suami isteri maut kemalangan, 2 beradik yatim piatu

Suami isteri maut kemalangan, 2 beradik yatim piatu

Dua anak pasangan suami isteri itu berusia enam dan lapan tahun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut polis, hasil siasatan awal mendapati kereja jenis Mazda RX8 dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri laluan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua beradik menjadi yatim piatu selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan kedua ibu bapa mereka maut di Kilometer 181 Lebuh Raya Utara Selatan, Perak semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa Mohamad Anas Awang dan isteri, Siti Hafissah Zamri maut, manakala dua anaknya Muhammad Afiq dan Siti Nur Alya Adriana, masing-masing berusia lapan dan enam tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kerian Mazuki Mat berkata, hasil siasatan awal mendapati kereja jenis Mazda RX8 dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri laluan.

Katanya, kereta mangsa turut melanggar sebuah Perodua Kancil yang dipandu wanita berusia 26 tahun.

“Akibat perlanggaran itu, Mohammad Anas yang beralamat di Markas Tentera Darat, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur tercampak keluar dari keretanya ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia.

“Isteri mangsa meninggal dunia di dalam kereta manakala dua orang anak mereka serta pemandu dan penumpang kereta Perodua Kancil tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Mazuki berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.