Umno Jelebu cadang pemilihan diadakan sebelum PRU 15

Umno Jelebu cadang pemilihan diadakan sebelum PRU 15

Pemilihan sebelum PRU bagi memastikan sebarang krisis dapat diselesaikan dengan lebih awal, berhemah dan teratur.

Jalaluddin menjelaskan pemilihan Umno lebih awal wajar bagi memastikan jentera di semua peringkat bersedia bagi menghadapi PRU ke 15. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemilihan Umno bagi penggal 2021 hingga 2024 yang ditangguhkan sehingga Dis 2022 wajar diadakan lebih awal sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15, kata Ketua Umno Jelebu Jalaluddin Alias

Katanya, cadangan itu dipersetujui Umno bahagian pada mesyuarat perwakilan bahagian yang diadakan hari ini.

Jelas beliau, pemilihan Umno lebih awal itu wajar bagi memastikan jentera di semua peringkat adalah jentera yang mendapat mandat baharu serta cukup bersedia bagi menghadapi PRU15.

“Pemilihan Umno perlu dibuat sekurang-kurangnya setahun sebelum PRU diadakan.

“Jika terdapat sebarang isu berbangkit, krisis atau masalah dalaman selepas pemilihan parti, ia dapat diselesaikan dengan lebih awal, berhemah dan teratur,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau sebelum itu merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jelebu di Kompleks Umno Jelebu, Simpang Pertang di sini.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, adalah tidak sesuai, sekiranya PRU diadakan terlebih dahulu sebelum ia disusuli dengan pemilihan Umno yang boleh menyebabkan parti itu dalam keadaan bermasalah.

Katanya, pemilihan parti dalam keadaan waktu yang amat singkat boleh mendatangkan kesan kepada kepimpinan parti memandangkan PRU15 masih belum diketahui tarikhnya.

“Oleh itu Umno wajar menilai dan membuat keputusan supaya pemilihan parti dibuat setahun sebelum PRU bagi memperkemaskan jentera di peringkat cawangan, bahagian dan pusat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.