Skuad hoki kebangsaan tarik diri kejohanan di Dhaka

Skuad hoki kebangsaan tarik diri kejohanan di Dhaka

Keputusan penarikan diri skuad negara itu berikutan seorang pemainnya disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memaklumkan skuad lelaki kebangsaan bagaimanapun akan tetap menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 selepas tamat tempoh kuarantin. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Skuad hoki kebangsaan sah menarik diri daripada beraksi di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Lelaki 2021 yang akan berlangsung di Dhaka, Bangladesh dari 14 hingga 22 Dis ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan penarikan diri skuad negara itu berikutan seorang pemainnya disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

“Kini pemain tersebut termasuk keseluruhan pasukan sedang menjalani proses kuarantin wajib yang ditetapkan.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM), skuad senior lelaki kebangsaan perlu menjalani kuarantin kendiri bermula 8 hingga 14 Dis ini jika mahu berlepas ke Dhaka, dan ia sekali gus memberi kesan kepada tarikh kejohanan,” menurut KHM.

KHM memaklumkan keputusan itu juga bagi mematuhi arahan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) yang mengambil serius mengenai situasi pandemik COVID-19 yang melanda seluruh negara.

“KHM cakna dengan beberapa ketetapan baharu Kerajaan Malaysia (prosedur perjalanan keluar-masuk Malaysia) termasuk kegusaran susulan penularan varian baharu Omicron. Oleh demikian, KHM juga tidak akan berkompromi mengenai soal kebajikan, kesihatan dan keselamatan pemain kebangsaan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, KHM memaklumkan skuad lelaki kebangsaan bagaimanapun akan tetap menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Hoki Piala Asia 2022 selepas tamat tempoh kuarantin.

Namun, lokasi berlangsungnya kejohanan yang bakal menawarkan tiket ke Kejohanan Hoki Piala Dunia 2023 di India itu masih belum diumumkan Persekutuan Hoki Asia (AHF).

Selasa lepas, skuad Projek Khas Wanita tidak dibenarkan beraksi di Kejohanan Trofi Juara-juara Asia (ACT) Wanita 2021 di Donghae, Korea Selatan susulan seorang pemainnya positif Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.