
Beliau berkata, antara risiko ialah kehilangan keyakinan oleh pelabur disebabkan perubahan pendirian kerajaan dan implikasi serius dari aspek kewangan dan perundangan ke atas negara dan DNB disebabkan isu pelanggaran atau penamatan kontrak.
Katanya, langkah menukar model tersebut juga akan mengakibatkan negara kehilangan penjanaan ekonomi berjumlah RM122 bilion menjelang tahun 2030 seperti yang dilaporkan oleh kajian dijalankan oleh Ernst & Young Sdn Bhd (EY).
“Kerajaan akan kehilangan kos peluang atau “opportunity cost” pihak industri dalam memperoleh keuntungan memandangkan rangkaian 5G akan mengguna pakai infrastruktur sedia ada untuk meningkatkan kecekapan.

“Seterusnya kerajaan juga bakal kehilangan sokongan sehingga 15,000 pekerjaan berkaitan pembangunan rangkaian 5G, serta gangguan terhadap penciptaan 148,000 pekerjaan di dalam ekonomi secara keseluruhannya, yang sepatutnya mendorong peralihan ekonomi kepada pekerja berkemahiran tinggi,” katanya dalam kenyataan menurut laporan Sinar Harian.
DNB merupakan sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang ditubuhkan Kementerian Kewangan pada Februari lalu untuk mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur dan rangkaian 5G di Malaysia dengan kos keseluruhan berjumlah RM16.5 bilion.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa pada 7 Dis lalu dilaporkan berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengkaji semula penggunaan model Rangkaian Borong Tunggal, atau Single Wholesale Network (SWN) di bawah DNB selepas mendapat maklum balas daripada pihak industri.
Annuar berkata, kerajaan akan mempertimbangkan sama ada untuk mewujudkan beberapa pembekal bagi penyediaan rangkaian 5G tersebut dan membenarkan persaingan antara pemain industri.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, model SWN yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan mempunyai kelebihan untuk melaksanakan rangkaian 5G dengan pantas, pada kos paling rendah dan kualiti yang lebih baik.
“Model SWN yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyediakan akses yang adil dan sama rata kepada semua syarikat telekomunikasi seterusnya menggalakkan persaingan yang berfokuskan perkhidmatan kepada pelanggan.
“Selain itu, SWN juga tidak akan terlibat di dalam pasaran runcit berdasarkan model perniagaan syarikat dan juga syarat lesen oleh SKMM,” katanya.
Katanya, syarikat telekomunikasi telah mengambil masa tujuh tahun untuk mencapai liputan 4G di kawasan berpenduduk sebanyak 82.2 peratus manakala DNB pula sebaliknya menyasar 5G dapat dilancarkan kepada lebih 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang 2024.