Kesesakan ketika membayar saman risiko kepada orang ramai, kata MMA

Kesesakan ketika membayar saman risiko kepada orang ramai, kata MMA

Perancangan teliti sepatutnya dilakukan sebelum mengumumkan diskaun saman trafik kerana orang ramai akan mengambil peluang atas tawaran itu.

Dr Koh Kar Chai berkata, kerajaan sepatutnya menyekat dan tidak menggalakkan orang ramai berkumpul, oleh itu pembayaran dalam talian menjadi pilihan terbaik.
PETALING JAYA:
Perancangan lemah dan kurangnya pengawasan oleh pihak berkuasa dalam menawarkan diskaun saman trafik meletakkan ribuan rakyat Malaysia berisiko kerana prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sukar untuk dipatuhi, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata, perancangan yang teliti sepatutnya dilakukan sebelum mengumumkan diskaun saman trafik kerana kerajaan sepatutnya sudah menjangkakan orang ramai akan mengambil kesempatan atas tawaran itu.

“Melihat kepada situasi ini, mereka sepatutnya membuat penambahbaikan terutama sistem pembayaran dalam talian.

“Meskipun pemberian diskaun amat dialu-alukan, pelaksanaan sistem sangat lemah tanpa memikirkan risiko kepada kesihatan orang ramai.

“Kerajaan sepatutnya menyekat dan bukannya menggalakkan orang ramai berkumpul, oleh itu pembayaran dalam talian menjadi pilihan terbaik,” katanya kepada FMT.

Portal MyBayar Saman polis dan sistem dalam talian MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tergendala disebabkan terlalu ramai melayarinya menyebabkan orang ramai membanjiri kaunter bayaran di KLCC, ibu pejabat polis dan kiosk JPJ bagi mengambil peluang menikmati diskaun 80% yang ditawarkan ke atas saman mereka.

Koh berkata, polis trafik dan JPJ perlu memberi tumpuan kepada pembayaran saman secara dalam talian.

“Sekiranya terdapat isu dengan portal atau aplikasi, maka ia perlu diperbetulkan, diperbaiki dan diuji terlebih dahulu sebelum pengumuman dibuat,” katanya.

Koh juga berkata, Malaysia juga perlu mengambil berat mengenai varian Omicron, yang lebih mudah merebak.

“Mana-mana pusat berisiko menjadi penyebaran varian dengan pantas,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kula Segaran berkongsi gambar orang ramai di KLCC menerusi Twitternya.

Dalam ciapanya itu, Kulasegaran berkata, “mengapa melabur dalam 5G, ketika mana kerajaan masih membuat orang ramai beratur membayar saman ketika pandemik?”

Ketika dihubungi, beliau berkata kerajaan perlu menutup mana-mana kaunter yang memerlukan kehadiran fizikal.

“Mereka perlu menaiktaraf portal dalam talian bagi mengelakkan kesulitan serta melanjutkan tarikh akhir diskaun kepada tiga bulan supaya orang ramai tidak tergesa-gesa untuk membayar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.