
Bercakap kepada FMT, Asyraf berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno baru-baru ini.
“Dalam mesyuarat MKT baru-baru ini, kita sebulat suara agar PRU diadakan selepas Julai tetapi sebelum pemilihan Umno diadakan,” jelasnya.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ismail Sabri Yaakob yang meminta semua pihak termasuk kepimpinan Umno supaya bersabar dan terus menyokongnya sebagai Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu ekonomi dan kesihatan yang dihadapi rakyat sebelum Parlimen boleh dibubarkan.
“Saya perlu sokongan dari parti untuk naikkan semangat saya untuk perjuangan. Isu terbesar adalah isu rakyat dan bukan “politiking” yang tak habis-habis,” kata Naib Presiden Umno itu yang dipetik sebagai berkata dalam satu majlis di Bera.
Menegaskan perkara itu, Asyraf berkata, kepimpinan Umno dari awal sudah menyatakan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Perdana Menteri bagi memastikan usaha membantu rakyat mengharungi tekanan ekonomi akibat pandemik Covid-19 terus berjaya.
“Semua kepimpinan Umno termasuk Presiden dan Timbalan Presiden menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri. Kita kena ingat, PRU cepat macam mana pun, kena hormati MoU (Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan),” katanya.
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan sebelum ini berkata, PRU15 perlu dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat mengambil kira sentimen rakyat dalam PRN Melaka yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, Ismail berkata, semua parti berhak memberi pandangan berhubung pembubaran Parlimen, tetapi kuasa membubarkan Parlimen terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, beliau memerlukan persetujuan semua parti dalam Kabinet sebelum boleh membawa cadangan membubarkan Parlimen kepada Agong.
Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menyatakan persetujuan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum 31 Jul tahun depan sebagai usaha mencapai kestabilan politik di negara ini bagi memerangi pandemik Covid-19.
Penyelaras Ketua Whip Ahli Parlimen PH Anthony Loke berkata, tidak wujud keperluan untuk mengadakan (PRU) secara mengejut, sebaliknya fokus sepenuhnya kini adalah kepada usaha memerangi Covid-19.