
Sambil merujuk beberapa parti yang bertanding menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri ke-12 ini, Wan Junaidi berkata, ramai antara mereka mendakwa mempunyai pelbagai latar belakang profesional dan mampu memerintah Sarawak.
“Tetapi jangan buat silap. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini juga mengatakan mereka mempunyai ramai profesional yang berkelayakan tinggi. Tapi sayangnya, mereka hanya pandai retorik.
“Kerajaan PH runtuh selepas 22 bulan kerana ramai tidak berpuas hati terhadap janji-janji yang tidak ditunaikan dan ramai (penjawat awam) juga kehilangan pekerjaan.
“Jadi, ini satu pengajaran baik untuk rakyat Sarawak, jadi, pengundi perlu mengundi parti yang terbukti mempunyai pengalaman dan kepimpinan,” katanya menurut laporan The Borneo Post.
Wan Junaidi sebelum itu berada di Spaoh, Betong berkempen bagi calon GPS Douglas Uggah Embas yang mempertahankan kerusi Bukit Saban.
Beliau menegaskan, Ketua Menteri Abang Johari Openg dan anggota kabinetnya termasuk timbalannya Uggah, adalah antara pemimpin cemerlang dalam tanggungjawab masing-masing.
Katanya, Abang Johari bijak menguruskan kewangan dan beliau tahu bagaimana untuk menghasilkan pendapatan tambahan bagi membiayai keperluan pembangunan negeri.
“Pada masa sama, beliau (Abang Jo) memberi kepercayaan kepada Uggah untuk mengendalikan pemodenan sektor pertanian negeri untuk melonjakkan negeri ini menjadi pengeluar dan pengeksport makanan terkemuka di negara dan juga di rantau ini menjelang 2030.
“Petani, penternak dan nelayan pastinya akan mendapat manfaat apabila mereka boleh menggandakan dua atau tiga kali ganda pendapatan mereka,” katanya.