
KUCHING: Susulan kegagalan mencapai perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, Setiausaha Agung Parti Sarawak Bersatu (PSB) George Loh berkata, ia “bukanlah tamparan besar” kepada PSB, walaupun terdapat sedikit kebimbangan apabila melibatkan pertembungan banyak penjuru.
Beliau memberitahu FMT, PH akan lebih terjejas oleh kegagalan rundingan kerusi berbanding PSB kerana rakyat Sarawak kecewa dengan gabungan itu yang tidak mampu menunaikan banyak janjinya ketika berkuasa.

Beliau juga berkata, segelintir pihak dalam PSB berpendapat bahawa bekerjasama dengan PH akan menjejaskan imejnya sebagai parti tempatan.
“Jika kita buat perjanjian dengan PH, kita akan dianggap sama seperti GPS, yang bekerjasama dengan Umno dan PAS,” katanya.
Loh mengakui, ada kemungkinan kegagalan rundingan itu akan menjejaskan peluang PSB dalam “beberapa” persaingan di kerusi bandar majoriti Cina, tetapi katanya “ini hanya boleh dilihat pada hari pengundian”.
Ditanya mengapa PSB hanya bertanding di 70 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan, beliau berkata, parti itu hanya meletakkan calon yang boleh menang.
“Kami cuba cari seramai boleh calon yang boleh menang. Kami tidak mahu meletakkan calon semata-mata untuk ada calon.
“PH pada masa lalu meletakkan calon merata-rata, dan ramai yang kehilangan deposit,” katanya.“Ini bukan tentang kehilangan deposit, tetapi apa kesannya kepada imej parti. Jadi, kami menilai setiap kerusi dan calon berpotensi sebelum membuat keputusan.”
Loh berkata, PSB menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi bagi membolehkannya membentuk kerajaan.