PRN Sarawak: Saya sokong calon PBB, bukan bekas setiausaha politik, kata Rohani

PRN Sarawak: Saya sokong calon PBB, bukan bekas setiausaha politik, kata Rohani

Safiudin Matsah yang bertanding sebagai calon Bebas di DUN Beting Maro adalah bekas setiausaha politik Rohani Karim.

Rohani Abdul Karim mahu memastikan kemenangan tiga DUN dalam Parlimen Batang Lupar, iaitu Beting Maro, Lingga dan Sebuyau pada PRN kali ini. (Gambar Facebook)
KUCHING:
Ahli Parlimen Batang Lupar Rohani Abdul Karim menegaskan beliau tidak akan menyokong atau menaja calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro sekali pun pernah menjadi setiausaha politiknya sebelum ini.

Timbalan Ketua Wanita II Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu dalam kenyataan berkata, beliau memberikan sokongan 100% kepada calon daripada PBB yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12, terutama penyandang kerusi DUN Beting Maro, Razaili Gapor.

Beliau berkata, Razaili bukan nama asing dalam kalangan pengundi di Beting Maro kerana sudah dua penggal menabur bakti sebagai wakil rakyat dan kini sekali lagi beliau diberikan amanah bagi memastikan kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN ini.

Katanya, beliau sudah pasti akan menggerakkan seluruh jentera dan keringat yang ada bagi memastikan kemenangan besar menjadi milik semua calon GPS.

Saingan bagi kerusi DUN Beting Maro pada PRN ini menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan penyandang Razaili dicabar oleh Safiudin Matsah (Bebas), Jacky Chiew Su Chee (Parti Bumi Kenyalang), Abang Zulkifli Abang Engkeh (PKR), dan Mohammad Arifiriazul Paijo (PAS).

Hari pengundian PRN Sarawak ditetapkan pada 18 Dis.

Rohani yang juga Pengerusi Sri Aman Development Agency (SADA) berkata, Beting Maro adalah salah satu DUN dalam Parlimen Batang Lupar selain Sebuyau dan Lingga.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan kesemua calon di DUN berkenaan memperoleh mandat daripada penduduk setempat sekali lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.