Pemaju tawar kediaman RM300,000 kepada 38 pemilik flat PKNS Sungai Baru bantah projek pembangunan

Pemaju tawar kediaman RM300,000 kepada 38 pemilik flat PKNS Sungai Baru bantah projek pembangunan

Menerusi tawaran menerusi Pakej Harmoni itu, penduduk ditawarkan sebuah kediaman berkeluasan 900 kaki persegi.

Abdul Hadi Ahmad (kanan) pada sidang media hari ini selepas mengumumkan Pakej Harmoni kepada 38 pemilik flat PKNS Kampung Sungai Baru yang tidak bersetuju dengan projek pembangunan semula.
KUALA LUMPUR:
Seramai 38 pemilik yang menetap di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Sungai Baru, yang belum bersetuju menyerahkan kawasan tapak asal rumah mereka, ditawarkan sebuah kediaman bernilai RM300,000.

Kediaman itu boleh dimiliki dengan hanya membayar separuh saja daripada nilai pampasan yang diterima.

Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta Ritzy Gloss Sdn Bhd, Abdul Hadi Ahmad, berkata tawaran menerusi Pakej Harmoni itu, penduduk akan ditawarkan sebuah kediaman berkeluasan 900 kaki persegi.

Katanya, penduduk yang bersetuju menerima pakej tersebut hanya perlu membayar separuh daripada jumlah sebenar pampasan diterima, di mana kediaman gantian baharu itu tetap akan dibina dalam kawasan projek pembangunan semula itu.

“Pakej Harmoni ini menawarkan sebuah kediaman berkeluaran 900 kaki persegi bernilai RM300,000 yang boleh dimiliki dengan separuh harga dari jumlah pampasan pengambilan tanah yang diterima pemilik.

“Sebagai contoh, pemilik yang menerima jumlah pampasan pengambilan tanah berjumlah RM250,000 boleh memiliki Pakej Harmoni ini dengan harga RM125,000. Kediaman ini dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, beserta satu petak tempat letak kereta yang akan dibina dalam kawasan projek pembangunan semula ini,” katanya dalam sidang media berhubung Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, susulan bantahan, Sabtu lalu.

Katanya, tawaran Pakej Harmoni itu dibuat selepas hampir lima tahun tidak berjaya mendapatkan persetujuan keseluruhan 264 pemilik unit flat tersebut, selepas hanya 226 atau 85% pemilik bersetuju dengan projek berkenaan, manakala 38 lagi tidak bersetuju.

Daripada 226 yang bersetuju, 192 telah menandatangani perjanjian usahasama, manakala 20 pemilik lagi sedang dalam proses menyelesaikan urusan pemilikan dan pusaka, manakala 15 pemilik mengubah fikiran dengan kembali bersetuju dengan pelaksanaan projek itu.

Katanya, sekiranya semua baki 38 pemilik rumah bersetuju dengan tawaran Pakej Harmoni terbabit, pihaknya menjangkakan projek pembangunan semula di kawasan itu, boleh bermula seawal Jun atau Julai tahun hadapan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur, Zulfakar Wahid, merayu kepada 38 pemilik rumah berkenaan untuk menerima Pakej Harmoni ditawarkan pemaju, bagi membolehkan projek terbabit dijalankan secepat mungkin.

“Mahu tak mahu projek pembangunan semula ini perlu diteruskan juga memandangkan 85% penduduk di Flat PKNS Sungai Baru bersetuju dengan projek tersebut, kena teruskan juga.

“…kasihanilah dengan majoriti mareka yang telah bersetuju dari awal sejak 2016 dan telah mengosongkan unit, hanya 15% sahaja tidak setuju, malah ada pemilik yang sudah meninggal dunia dan tidak sempat merasai tinggal di kediaman baharu,” katanya.

Zulfakar turut menegaskan, projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru berbeza dengan projek pembangunan semula Kampung Baru yang diurus Lembaga Tanah Pertanian Melayu (MAS).

“Ramai yang keliru, sebenarnya projek pembangunan Kampung Sungai Baru dan pembangunan Kampung Baru berbeza, pembangunan Kampung Baru bawah MAS,” katanya.

Sabtu lalu, hampir 20 penduduk Kampung Sungai Baru berkumpul untuk memohon supaya kerajaan campur tangan dalam isu pampasan pengosongan unit yang didakwa ditawarkan antara RM200,000 hingga RM250,000 kepada penduduk rumah flat terbabit.

Sebelum ini, pemaju membuat tawaran unit gantian hartanah kepada penduduk yang membuat persetujuan awal dengan menawarkan kemudahan fasiliti kondominium, beserta tempat letak kereta dianggarkan bernilai RM823,000 hingga RM1.02 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.