Apa jadi dengan undang-undang kebebasan maklumat, soal kumpulan antirasuah

Apa jadi dengan undang-undang kebebasan maklumat, soal kumpulan antirasuah

Kemajuan dalam penggubalan undang-undang itu sedikit walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa OSA akan dimansuhkan atau dipinda, kata C4.

Pemberi maklumat masih boleh dipenjarakan jika melanggar undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi dan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989, menurut C4. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) mempersoalkan kelewatan dalam penggubalan undang-undang kebebasan maklumat (FoI).

Katanya, kemajuan dalam penggubalan undang-undang itu sedikit walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa Akta Rahsia Rasmi (OSA) akan dimansuhkan atau dipinda.

“Sejak Perikatan Nasional (PN) merampas kuasa daripada Pakatan Harapan (PH) pada 2020, pentadbiran telah menunjukkan kecenderungan yang tidak terkawal untuk menyekat kebebasan bersuara,” dakwanya dalam kenyataan.

“Tidak banyak yang berubah dengan kerajaan Ismail Sabri Yaakob mengenai pendiriannya untuk ‘menganugerahkan’ Malaysia dengan undang-undang FoI, walaupun menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberi jaminan pada 16 Nov bahawa OSA akan dikaji semula.

“Sebagai gantinya adalah senarai undang-undang keras yang dikenakan ke atas orang ramai untuk mengekang fakta-fakta yang menjejaskan daripada timbul, termasuk tafsiran fakta yang dilaporkan oleh organisasi berita yang dianggap kerajaan bersifat ‘subversif’ atau mencabar keselamatan (politik)nya.”

C4 berkata, terdapat percubaan yang disengajakan untuk menyekat maklumat penting demi melindungi pihak yang berkuasa semasa krisis.

Di samping itu, katanya, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 perlu reformasi segera kerana ada bahagian yang boleh menyebabkan pemberi maklumat dipenjarakan kerana melanggar undang-undang lain.

Jika pemberi maklumat melanggar undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi dan Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989, mereka boleh dipenjarakan, tambahnya.

“Ini menghapuskan hak mana-mana pemberi maklumat yang tampil dengan sebarang pendedahan mengenai kerajaan demi kepentingan orang ramai,” katanya.

“Bagaimana pemberi maklumat hendak tampil membuat aduan membabitkan pegawai penguat kuasa atau pihak yang berkuasa jika institusi awam kita terjejas integritinya?”

Kumpulan antirasuah itu berkata, ia kecewa kerana pihak berkuasa menyasarkan laman pemberi maklumat Edisi Siasat atas pendedahannya mengenai dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pegawai penguatkuasa.

C4 mempersoalkan bagaimana akaun Twitter pemberi maklumat itu, yang mempunyai lebih 100,000 pengikut, digantung ketika data “yang menunjukkan kesalahan” sedang dikongsinya.

“Demi mengembalikan negara ke landasan untuk berkembang dan makmur semula, perang melawan rasuah mesti dimulakan.

“Dan sama ada Akta FoI akan menjadi kenyataan di Malaysia atau tidak akan bergantung kepada iltizam politik pihak yang berkuasa kerana akhirnya, ketelusan melalui kebebasan maklumat adalah senjata yang perlu kita gunakan untuk memenangi perang itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.