
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata akta baharu berkenaan mempunyai bidang kuasa lebih luas, merangkumi semua aspek pengamalan pergigian terkini seiring dengan perkembangan pengamalan dan teknologi dalam bidang pergigian.
Beliau berkata, akta mengandungi sembilan bahagian dan 104 seksyen itu mensyaratkan hanya pengamal yang berkelayakan, berwibawa dan profesional akan didaftarkan serta layak untuk memberi perkhidmatan pergigian.
“Dengan ini, kualiti perkhidmatan pergigian dan keselamatan pesakit adalah terjamin serta meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan pergigian,” katanya menurut laporan Bernama.
Akta terdahulu digunakan dalam mengawal selia amalan dalam bidang pergigian selama 50 tahun.
Akta 804 turut memperuntukkan penubuhan Majlis Pergigian Malaysia (MPM) dan Lembaga Juruterapi Pergigian Malaysia, pendaftaran doktor pergigian dan juruterapi pergigian, pengawalseliaan amalan pergigian dan perkara berkaitan.
Khairy berkata, antara peruntukan baharu dalam akta berkenaan adalah Peperiksaan Kelayakan Profesional bagi tujuan pendaftaran sebagai doktor pergigian, pendaftaran pakar pergigian dan juruterapi pergigian.
Ia turut memperuntukkan keperluan pengumpulan mata Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dan Perlindungan Tanggung Rugi Profesional bagi permohonan perakuan pengamalan dan penguatkuasaan dalam amalan pergigian.
“Semua pengamal akan diwajibkan mengumpul markah CPD dan memperoleh Perlindungan Tanggung Rugi Professional, sebelum memperbaharui perakuan pengamalan. Bagaimanapun, peruntukan ini hanya akan dikuat kuasa pada 1 Jan 2025,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy berkata, semua graduan pergigian yang ingin berdaftar dengan MPM perlu memastikan mereka lulus Peperiksaan Kelayakan Profesional.