Saravanan arah JTK siasat dakwaan buruh paksa dalam syarikat ATA IMS Bhd

Saravanan arah JTK siasat dakwaan buruh paksa dalam syarikat ATA IMS Bhd

Menteri Sumber Manusia berkata beliau telah melakukan lawatan ke kilang itu yang terletak di Johor semalam dan berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan sendiri oleh syarikat itu kepadanya.

M Saravanan berkata, beliau secara peribadi berpuas hati dengan penjelasan diberikan ATA IMS ketika melawat kilang itu semalam.
PUCHONG:
Kementerian Sumber Manusia telah mengarahkan agensinya, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) untuk menyiasat secara terperinci laporan dakwaan berlaku kegiatan buruh paksa dalam kalangan pekerja penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), ATA IMS Bhd baru-baru ini.

Menterinya M Saravanan berkata beliau telah melakukan lawatan ke kilang itu yang terletak di Johor semalam dan berpuas hati dengan laporan yang dikemukakan sendiri oleh syarikat itu kepadanya.

“Dari segi peribadi saya berpuas hati dengan penjelasan ATA IMS. Saya juga lihat suasana kerja dan keadaan kilang semua dalam keadaan teratur, yang ada menyatakan (laporan) buruh paksa ini orang salah tafsir, namun saya arahkan JTK siasat secara mendalam,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Jobs@mykomunity di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara di sini hari ini.

Mengenai program Jobs@mykomunity yang dianjurkan Persatuan Komuniti Sosio Kebajikan Malaysia (MyKomunity), Saravanan berkata inisiatif itu selari dengan usaha kerajaan untuk menyediakan lebih peluang pekerjaan khususnya kepada warga bandar kesan daripada pandemik Covid-19.

“Saya telah arahkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk melihat sejauh mana keberkesanan program ini, sekiranya berjaya kita akan bekerjasama dengan pihak MyKomunity untuk mengadakannya di bandar-bandar di seluruh negara,” katanya.

Jobs@mykomunity yang merupakan projek rintis itu berjaya menempatkan pekerjaan bagi 250 pencari kerja daripada komuniti B40 untuk bekerja dalam sektor kolar biru yang ditawarkan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.