
Beliau berkata pengorbanan yang dilakukan oleh Ali amat besar ertinya kepada persefahaman yang telah dicapai antara Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak.
“Saya amat mengalu-alukan keputusan Ali untuk menarik diri daripada bertanding sebagai calon bebas di DUN Krian.
“Ini termasuk persefahaman bahawa Perikatan Nasional yang diwakili oleh Bersatu akan mengambil bahagian dalam Pilihanraya Umum ke-15 di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhyiddin menyambut baik sokongan Ali kepada calon-calon GPS yang bertanding di Krian, Kalaka dan Kabong yang kesemuanya berada di dalam kawasan Parlimen Saratok.
Terdahulu, Ali mengumumkan menarik diri daripada bertanding pada PRN Sarawak, susulan akur dengan nasihat Muhyiddin.
Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu berkata, beliau menginsafi keputusan bertanding akan menjejaskan hubungan baik antara Bersatu dengan GPS.
Sebelum ini, Bersatu mengumumkan parti itu tidak bertanding pada PRN12 Sarawak dan berikrar memberi sokongan penuh kepada GPS pimpinan Abang Johari, namun parti berkenaan dikejutkan dengan tindakan Ali bertanding sebagai calon Bebas.
Ali menyandang kerusi Krian sejak 2011 dan juga Ahli Parlimen Saratok selepas menang sebagai calon PKR, namun kini menyertai Bersatu susulan “Langkah Sheraton”.