
Aizat, 34, bapa kepada seorang anak, adalah antara 1,300 kakitangan yang ditamatkan perkhidmatan ketika syarikat beroperasi dalam kerugian.
Sementara menunggu usaha mencari pekerjaan baharu membuahkan hasil, Aizat sekeluarga berpindah ke rumah keluarganya di Tanah Merah, Kelantan bagi mengurangkan belanja.
“Walaupun mempunyai pampasan daripada majikan, jumlah yang ada tidaklah banyak. Hanya cukup untuk menampung kehidupan keluarga kecil saya untuk beberapa bulan,” katanya kepada FMT.

“Pada masa sama saya mempunyai pinjaman rumah dan kereta untuk dilunaskan,” tambahnya.
Mujurlah sepanjang beliau bersama syarikat, majikan Aizat mencarum dalam Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bawah Perkeso. Inisiatif kerajaan itu melayakkan beliau menuntut “elaun mencari pekerjaan” sehingga enam bulan selepas diberhentikan.
Melalui skim ini, pemohon layak mendapat elaun sebanyak 80% daripada gaji terakhir bagi bulan pertama, 50% daripada gaji bagi bulan kedua, 40% bagi bulan ketiga dan keempat dan bulan kelima dan keenam sebanyak 30%.
“Walaupun saya mencarum tidak sampai RM20 sebulan, apa yang saya dapat selepas diberhentikan lebih daripada itu. Dengan bantuan ini saya mampu membayar rumah dan meringankan sedikit perbelanjaan harian terutama belanja dapur dan susu anak,” katanya, yang turut membuat kerja sambilan menjual snek ringan dan bantal.
Elaun pertama Aizat dikreditkan terus ke akaunnya dalam tempoh 14 hari selepas permohonan dibuat pada April.
“Untuk melayakkan pemohon mendapat elaun ini, setiap pemohon perlu mengisi borang yang membuktikan kita berusaha mencari kerja.
“Selain itu, setiap pemohon juga akan diletakkan bawah kendalian seorang pegawai Perkeso yang membantu pemohon mendapatkan semula pekerjaan,” katanya.
Aizat memuji kecekapan sistem kendalian Perkeso ini. Katanya, dengan bantuan pegawai Perkeso dan pencarian kerja di beberapa laman sesawang agensi kerajaan, beliau mendapat tawaran kerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanah Merah.
Tawaran itu menerusi MyStep, iaitu skim latihan dan penempatan pekerjaan jangka masa pendek. Aizat sudah bekerja di JKM sejak Oktober.
“Saya bersyukur, selepas tamatnya bantuan elaun daripada Perkeso pada Sept, saya terus mendapat tawaran bekerja bawah skim MyStep untuk tempoh setahun,” katanya.
Elaun mencari pekerjaan oleh Perkeso yang diperkenalkan pada 2018 diteruskan pada tahun depan dengan bantuan diperluaskan kepada bukan pencarum. Bajet 2022 memperuntukkan RM300 juta untuk memperluaskan program ini.
Pemohon bukan pencarum layak menerima elaun sebanyak RM300 sebulan selama tiga bulan.