Laporan 600 tentera Sulu mahu tawan Sabah dipandang serius, kata timbalan menteri

Laporan 600 tentera Sulu mahu tawan Sabah dipandang serius, kata timbalan menteri

Bagaimanapun laporan berita itu belum boleh dipastikan kesahihannya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, beliau memahami apa yang dibangkitkan M Karupaiya (PH-Padang Serai) adalah kerana tidak mahu tragedi Lahad Datu berulang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sentiasa memandang serius isu membabitkan soal keselamatan negara termasuk laporan bahawa 600 anggota Tentera Diraja Sulu (RSA) bersedia melancarkan operasi menawan Sabah.

Timbalan Menteri Pertahanan, Ikmal Hisham Abdul Aziz bagaimanapun memaklumkan laporan berita itu belum boleh disahkan, seterusnya beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya ada terbaca tadi perkara itu. Apapun berita ini tidak dapat disahihkan lagi jadi saya tak dapat beri ulasan lanjut, tapi saya percaya di pihak kerajaan sudah tentu apa sahaja maklumat berita termasuk apa yang dibangkitkan YB Padang Serai akan dipandang serius,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan yang dibangkitkan M Karupaiya (PH-Padang Serai) yang meminta penjelasan pendirian kerajaan susulan laporan lapor South China Morning Post (SCMP) mengenai perkara itu.

Katanya, operasi tersebut telah dirancang selepas beberapa siri pertemuan rahsia antara 19 Datuk Bandar dari selatan Filipina.

Ikmal Hisham berkata, beliau memahami apa yang dibangkitkan M Karupaiya adalah kerana tidak mahu tragedi Lahad Datu berulang.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, penghantaran enam helikopter MD530G dijangka dilaksanakan pada suku kedua 2022, selepas aktiviti pemeriksaan sebelum penghantaran (PDI) kedua sejak Isnin lalu mendapati ia memenuhi spesifikasi ditetapkan.

Katanya, enam helikopter itu kini berada di premis OEM di Mesa, Arizona, Amerika Syarikat, selain proses perolehannya sudah di fasa terakhir iaitu proses penerimaan.

Beliau juga mengakui sudah membuat pengiraan jumlah tuntutan denda lewat (LAD) perlu dikenakan ke atas kelewatan perolehan berkenaan dengan jumlahnya akan ditentukan selepas proses penerimaan helikopter itu selesai dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.