DUN Sabah lulus Belanjawan 2022

DUN Sabah lulus Belanjawan 2022

Speaker DUN Sabah, Kadzim M Yahya, berkata belanjawan berkenaan diluluskan dengan suara majoriti ahli mesyuarat.

Speaker DUN Sabah, Kadzim M Yahya, berkata belanjawan berkenaan diluluskan dengan suara majoriti. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Selepas dibahaskan selama empat hari, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 atau belanjawan negeri 2022 berjumlah RM4.21 bilion.

Speaker DUN Sabah, Kadzim M Yahya, berkata belanjawan berkenaan diluluskan dengan suara majoriti ahli mesyuarat.

DUN Sabah turut meluluskan Rang Undang-undang Kumpulan Wang Amanah Kerajaan (Pindaan) 2021, Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-undang Perbadanan Makanan Haiwan 2021.

Selain itu, turut diluluskan ialah usul melantik Ketua Penerangan Wanita Umno Sabah, Noraini Idris sebagai Ahli Dewan Negara yang baharu, bermula esok.

Pelantikan Noraini bagi menggantikan Donald Peter Mojuntin yang akan tamat tempoh perkhidmatan sebagai Senator, hari ini.

Pencalonan Noraini mendapat sokongan 58 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hadir pada persidangan itu.

Noraini yang berasal dari Penampang berkhidmat sebagai peguam bela serta peguam cara selama 27 tahun di Sabah dan kini berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Sabah.

Terdahulu, Ketua Menteri Hajiji Noor dalam ucapan penggulungannya berkata, satu jawatankuasa khas yang diketuai menteri kewangan 2 negeri telah ditubuhkan bagi meneruskan rundingan dengan kerajaan persekutuan berkaitan pemberian khas negeri ini, sepertimana hak negeri yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Seperti yang kita semua sedia maklum, kerajaan negeri dan PETRONAS telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) pada hari Selasa, 7 Dis lepas.

“Melalui kolaborasi ini, Sabah akan mendapatkan perkongsian hasil berkaitan minyak dan gas yang lebih besar, penyertaan dan penguasaan yang lebih besar dalam hal-hal minyak dan gas di bawah satu rangka kerja perundingan komersial bersama dengan Petronas sambil memastikan negeri ini mengekalkan hak perundangannya.

“Kerajaan negeri ditawarkan untuk menyertai di dalam Projek LNG melalui kepentingan saham sehingga 25% pada kos dan tanpa premium dalam anak-anak Syarikat Petronas.

“Petronas akan terus komited untuk membayar tunai royalti minyak dan Cukai Jualan Negeri sebagai sebahagian daripada mendapatkan perkongsian hasil yang lebih besar dalam industri minyak dan gas” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.