100 Hari AKM: KKR peruntuk RM4.28 bilion jana ekonomi rakyat terkesan pandemik

100 Hari AKM: KKR peruntuk RM4.28 bilion jana ekonomi rakyat terkesan pandemik

Pengeluaran 130 Surat Setuju Terima (SST) melibatkan peruntukan bernilai RM4.28 bilion antara kejayaan terbesar Kementerian Kerja Raya (KKR).

Fadillah Yusof berkata, KKR merancang untuk menambah baik proses perolehan kerajaan melalui adaptasi penggunaan teknologi terkini dengan mengambil kira keutuhan integriti dalam proses kerja berkaitan.
PETALING JAYA:
Pengeluaran 130 Surat Setuju Terima (SST) melibatkan peruntukan bernilai RM4.28 bilion merupakan antara kejayaan terbesar Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi empat sasaran 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, KKR berjaya mencapai sasaran dalam tempoh 81 hari dengan mempercepatkan pengeluaran SST kepada kontraktor yang layak untuk menggerak dan menstruktur semula ekonomi negara.

“AKM pertama iaitu mempercepatkan pengeluaran SST saya kira merupakan pencapaian terbesar.

“Semua pegawai dan kakitangan kementerian dan agensi, khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) memberikan komitmen yang tinggi dan hasilnya melebihi ekspektasi daripada sasaran awal yang ditetapkan,” katanya.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong (dua,kiri) menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) Projek Menaik Taraf Jalan FT050 yang menghubungkan Batu Pahat dan Ayer Hitam kepada wakil kontraktor Syarikat Unggul Sdn Bhd, Zoharo Akob (tengah) sempena majlis pecah tanah projek tersebut.

Fadillah berkata, pengeluaran SST juga membantu membuka peluang pekerjaan, rantaian sektor pembinaan dengan perunding, pembekal bahan pembinaan, jentera pembinaan dan lain-lain turut mendapat manfaat dan pada masa sama fasiliti kepada rakyat dapat direalisasikan.

Beliau berkata, bagi pencapaian menerusi sasaran kedua AKM, KKR memperkenalkan peraturan baharu dan mendapatkan kelulusan Jawatankuasa Dasar KKR bagi menguatkuasakan Standard Industri Pembinaan (Construction Industry Standards – CIS).

Katanya, ia termasuk Garis Panduan Bagi Prosedur Kerja Selamat Untuk Kerja-Kerja Pembinaan oleh CIDB dan melalui peraturan baharu ini, keselamatan dan kesihatan pekerja tapak bina dan orang awam terjaga sekali gus meningkatkan kepercayaan terhadap Kerajaan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof bersama Ketua Eksekutif CIDB, Ahmad ‘Asri Abdul Hamid memeriksa persiapan bilik kuarantin contoh yang disediakan oleh syarikat pembinaan sekiranya terdapat pekerja yang dijangkiti Covid-19.
Menteri Kanan Kerja Raya, Fadillah Yusof melawat tapak projek pembinaan pangsapuri mewah di Bukit Bintang.

“Seterusnya dalam sasaran ketiga AKM, sebanyak 15,973 bilangan jalan berlubang (100%) di jalan persekutuan bagi Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan dari 1 Sept sehingga 30 Nov tahun ini, telah ditampal dalam tempoh 24 jam sambil menekankan kepada semua pihak yang bertanggungjawab, bahawa penyenggaraan berkualiti harus menjadi keutamaan pada setiap masa dan bila-bila masa.

“Konsesi dan kontraktor penyelenggaraan sentiasa produktif dan responsif setiap masa serta menjadi pihak pertama yang dihubungi, pertama berada di lokasi dan pertama memberi maklum balas serta mengemas kini sebarang informasi,” katanya.

Sebanyak 15,973 bilangan jalan berlubang (100%) dari 1 Sept sehingga 30 Nov tahun ini, telah ditampal dalam tempoh 24 jam.

Fadillah berkata, sasaran keempat AKM pula adalah meningkatkan infrastruktur menyeluruh yang terbahagi kepada dua, iaitu pertama menambah baik jaringan lebuh raya antara bandar (inter-urban) dengan memuktamadkan perjanjian satu lebuh raya baharu (Projek Penswastaan Petaling Jaya Dispersal Elevated Highway).

Katanya, selain itu penstrukturan kadar tol, iaitu mendapat kelulusan prinsip kerajaan bagi mengadakan rundingan bersama syarikat konsesi lebuh raya utama bagi tujuan mengekalkan kadar tol sedia ada atau mengurangkan kadar tol dan tidak membebankan pengguna.

Fadillah berkata, sasaran keempat AKM merupakan cabaran utamanya selama 100 hari memegang tanggungjawab sebagai menteri bertanggungjawab kerana perlu memastikan cadangan yang dikemukakan oleh syarikat konsesi mengambil kira faedah secara menyeluruh.

“Ia bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada pihak berkepentingan khususnya rakyat sebagai pengguna lebuh raya berkenaan dan pihak konsesi terlibat,” katanya.

Bagi sasaran masa depan pula, Fadillah berkata, KKR merancang untuk menambah baik proses perolehan kerajaan melalui adaptasi penggunaan teknologi terkini dengan mengambil kira keutuhan integriti dalam proses kerja berkaitan.

Selain itu katanya, KKR juga bercadang menambah baik pelaksanaan dan urusan pemantauan projek serta penyediaan laluan utiliti dalam pelaksanaan projek infrastruktur jalan.

Fadillah bersama Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Tun Openg di atas jejambat jajaran Serian, Lebuhraya Pan Borneo yang dibuka secara rasmi pada 5 Disember lalu.
Jajaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Bagi Work Package Contract 07 (Seksyen Julau) yang dibuka pada 20 November.

Tambahnya pada masa ini, tiada laluan khusus disediakan untuk utiliti di jalan-jalan sedia ada, kebanyakan utiliti ini ditempatkan dalam rizab jalan sama ada di bawah pavemen jalan atau bahu jalan.

“Keadaan tersebut menyebabkan kelewatan pelaksanaan projek naik taraf jalan kerana isu-isu pengalihan utiliti, kos yang tinggi, pengorekan berulang kali jalan untuk senggara utiliti, kesesakan dan kemalangan jalan raya disebabkan kerja pembaikan semula yang tidak sempurna.

“KKR berjaya mencapai 100% keseluruhan empat AKM disasarkan Fadhilah berkata, ia diharapkan dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasar sama ada dari segi ekonomi, keselamatan dan keselesaan selaras dengan motto KKR iaitu Ke arah Kesejahteraan Rakyat,” katanya.

Fadillah berharap, KKR akan terus ke hadapan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia dan pencapaian cemerlang ini tidak terhenti setakat 100 hari sahaja tetapi diteruskan pada masa-masa akan datang.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.