Ujian Covid-19 di sekolah hanya guna kit air liur, kata KPM

Ujian Covid-19 di sekolah hanya guna kit air liur, kata KPM

Penggunaan kit ujian secara calitan hidung adalah tidak dibenarkan dan tidak selaras dengan arahan KPM melalui surat bertarikh 28 Nov 2021.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, pengurusan ujian kendiri Covid-19 bagi murid sekolah dilaksana mengikut ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.
KUALA LUMPUR:
Pelaksanaan saringan ujian Covid-19 di semua sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menggunakan kit ujian air liur sahaja.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, penggunaan kit ujian secara calitan hidung adalah tidak dibenarkan dan tidak selaras dengan arahan KPM melalui surat bertarikh 28 Nov 2021.

Merujuk kepada gambar yang tular dalam media sosial bertajuk “Di sebuah sekolah guru-guru menjalani latihan amali dengan swab pelajar”, KPM telah menjalankan siasatan dan mendapati gambar tersebut membabitkan ujian saringan Covid-19 yang dilaksanakan di sebuah sekolah di Pahang.

Menurut KPM, secara keseluruhan, seramai 16 murid di sekolah berkenaan telah dipilih secara rawak untuk menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan kit ujian air liur.

“Bagaimanapun, demonstrasi calitan hidung turut dilaksana melibatkan empat guru dan empat murid yang dibimbing oleh dua jururawat masyarakat,” menurut kenyataan itu.

KPM menjelaskan, pengurusan ujian kendiri Covid-19 bagi murid sekolah KPM dilaksana mengikut ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Menurutnya, pada 28 Nov 2021 KPM mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 bagi murid sekolah rendah yang dibuat secara penggiliran bagi sekurang-kurangnya 10% murid.

Berdasarkan surat siaran berkenaan, pelaksanaan ujian kendiri hanya membabitkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM dan dibuat dengan pemantauan guru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.