Putrajaya tubuh pasukan petugas khas siasat buku Tommy Thomas

Putrajaya tubuh pasukan petugas khas siasat buku Tommy Thomas

Pasukan petugas khas itu akan membuat kajian awal berhubung dakwaan dalam buku tulisan bekas Peguam Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pasukan petugas khas dipersetujui Jemaah Menteri pada 29 Okt lalu akan membuat kajian awal berhubung dakwaan dalam buku “My Story: Justice in the Wilderness”.
PETALING JAYA:
Satu pasukan petugas khas dipersetujui dan ditubuhkan Jemaah Menteri bagi menyiasat dakwaan buku tulisan bekas Peguam Negara Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata pasukan petugas khas yang dipersetujui Jemaah Menteri pada 29 Okt lalu akan membuat kajian awal berhubung dakwaan dalam buku terbabit.

Beliau berkata, dakwaan itu termasuk isu pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman, pendakwaan terpilih dan sebagainya.

“Dalam masa yang sama, polis juga telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan-dakwaan tersebut.

“Memorandum Jemaah Menteri berhubung penubuhan pasukan petugas khas ini termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan akan dibentangkan untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.

Wan Junaidi berkata, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan Penasihat Undang-undang dan bekas Peguam Besar Sarawak Fong Joo Chung selain dianggotai bekas Setiausaha Kerajaan Sabah Hashim Paijan serta bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat dan bekas Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Junaidah Kamaruddin.

Pasukan itu turut dianggotai bekas Hakim dan Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara Jagjit Singh serta dua peguam Shaharudin Ali dan K Balaguru selain wakil-wakil daripada kementerian/jabatan berkepentingan.

Antaranya seperti Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah (GIACC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO).

Katanya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan bertindak sebagai urus setia bagi Jawatankuasa tersebut.

Beliau berkata, pasukan petugas khas itu akan mengemukakan dapatan dan syor-syor kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan dari tarikh lantikan sebagaimana keputusan Jemaah Menteri pada 29 Okt lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.