
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 31 tahun terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas pemeriksaan dilakukan kakitangan hospital dalam kejadian 7.35 malam itu.
Adzli berkata, polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang pada awalnya mengatakan jirannya sedang mengamuk di belakang rumah.
Katanya, sebelum itu lelaki berkenaan memaklumkan beliau diberitahu isterinya berhubung kelakuan jiran mereka yang sedang meracau seorang diri dan membuat bising di luar rumah.
“Berikutan itu, lelaki terbabit menghubungi polis dan sebaik tiba di lokasi anggota melakukan pemeriksaan dan menemui mangsa yang ketika itu tidak sedarkan diri dalam longkang belakang rumah.
“Pihak ambulans terpaksa dipanggil dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki berkenaan sudah meninggal dunia,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Tambah beliau, siasatan berdasarkan keterangan jiran mendapati lelaki berkenaan kerap mengamuk tanpa sebarang sebab selain tidak memiliki pekerjaan dan dipercayai penagih dadah.
“Hasil keterangan daripada jirannya, mereka mendakwa lelaki terbabit memang kerap mengamuk tanpa diketahui punca sehingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk sekitar.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod perubatan psikiatri dan kali terakhir menerima rawatan pada Mac 2016 lalu,” katanya yang menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Adzli berkata, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat serta ujian saringan Covid-19.