Lebih 11,000 diisytihar muflis sejak pandemik bermula

Lebih 11,000 diisytihar muflis sejak pandemik bermula

Statistik ini adalah dari Mac 2020 hingga September tahun ini, kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun bermula tarikh kemungkiran kontrak bagi melihat kesan sebenar Covid-19 ke atas penghutang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seramai 11,207 rakyat Malaysia diisytiharkan muflis semasa wabak Covid-19.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, statistik ini adalah dari Mac 2020 hingga September tahun ini.

Beliau berkata, 6,344 kes direkodkan tahun lepas dan 4,863 kes tahun ini.

“Bagi melihat kesan sebenar Covid-19 ke atas penghutang, ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu tahun bermula tarikh kemungkiran kontrak memandangkan pemiutang hanya boleh mempetisyen tindakan kebankrapan yang diasaskan berlaku dalam tempoh enam bulan sebelum mengemukakan petisyen,” katanya.

Beliau berkata, kemungkiran kontrak dijangka berlaku selepas berakhirnya moratorium enam bulan bagi bayaran balik pinjaman perumahan dan kenderaan September tahun lepas dan selepas moratorium secara bersasar selama enam bulan yang berakhir Mac tahun ini.

Ia turut dijangka berlaku selepas moratorium tambahan selama enam bulan diumumkan tahun ini, dengan tarikh permohonannya dibuka pada 7 Julai 2021, tambahnya.

“Jabatan Insolvensi Malaysia akan meneliti jumlah kes kebankrapan yang didaftarkan dalam tempoh-tempoh yang dinyatakan tersebut dan akan mengambil tindakan pentadbiran yang sewajarnya,” kata Wan Junaidi.

Wan Junaidi menjawab pertanyaan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) mengenai bilangan rakyat yang diisytiharkan muflis sejak bermulanya wabak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.