JPV nafi loji bekal ayam dari China, Thailand tak halal

JPV nafi loji bekal ayam dari China, Thailand tak halal

Sembilan loji ayam di Thailand dan dua di China yang disenaraikan di laman sesawang JPV adalah masih sah.

Senarai loji pengeksport produk ayam di laman sesawang jabatan dikemas kini dari semasa ke semasa, menurut JPV.
PETALING JAYA:
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan semua 11 loji di Thailand dan China yang mengeksport produk ayam ke negara ini masih sah.

Dalam satu kenyataan, JPV berkata, pihaknya memandang serius video seorang penceramah bebas yang tular di media sosial mendakwa loji ayam di Thailand dan China telah tamat tempoh dan tidak halal.

JPV berkata, sembilan loji ayam yang diluluskan bagi mengeksport daging dan keratan ayam di Thailand dan dua di China yang disenaraikan di laman sesawang jabatan masih sah untuk mengeksport produk itu ke Malaysia.

Menurut kenyataan, Badan Pengesahan Halal Luar Negara yang mengawal selia aktiviti penyembelihan halal di loji ayam Thailand (The Central Islamic Council of Thailand) dan di China (Shandong Halal Certification Services) masih sah tempoh pengiktirafan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sehingga 31 Dis 2023.

“Senarai loji-loji di laman sesawang JPV dikemas kini dari semasa ke semasa dan loji-loji yang didapati tidak mematuhi syarat import yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia akan digantung kelulusan eksport.

“Notifikasi penggantungan akan dipaparkan pada nama loji tersebut di laman sesawang DVS untuk makluman pihak-pihak berkepentingan,” menurut kenyataan itu.

JPV mengingatkan orang awam supaya merujuk kepada pihak berkuasa veterinar untuk mendapatkan keterangan dan pengesahan yang berkaitan kesahihan sebelum membuat sebarang hebahan dalam media sosial bagi mengelakkan spekulasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.