Jaminan kredit perumahan berita baik untuk pekerja upah harian, penjaja

Jaminan kredit perumahan berita baik untuk pekerja upah harian, penjaja

HBA berkata, skim jaminan kredit perumahan yang dicadangkan dalam Bajet 2022 boleh membantu pekerja upah harian mendapatkan pinjaman bank.

Kerajaan mencadangkan skim jaminan kredit untuk pembeli rumah dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion.
PETALING JAYA:
Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah (HBA) menyambut baik skim jaminan kredit perumahan dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion yang dicadangkan oleh kerajaan dalam Bajet 2022 kerana ia akan membantu rakyat tanpa pendapatan tetap.

Setiausaha Agung Chang Kim Loong berkata, skim tersebut boleh membantu golongan itu mendapatkan pinjaman bank dan memiliki kediaman sendiri.

“Pekerja upah harian tanpa pendapatan tetap seperti penjaga dan peniaga, mungkin ada wang dalam akaun simpanan tetap, walaupun mungkin tidak ada dokumen yang membuktikan pendapatan mereka,” katanya kepada FMT.

Chang percaya rakyat yang berharap untuk membeli rumah pertama mereka juga menyambut baik inisiatif kerajaan itu.

Ketika membentangkan Bajet 2022, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, kerajaan menerima banyak aduan daripada pekerja bebas, pekerja separuh masa, peniaga kecil, dan petani yang berdepan kesukaran mendapatkan pinjaman bank tanpa bukti pendapatan tetap, walaupun berkemampuan untuk menanggung pinjaman itu.

Chang berkata, skim jaminan kredit boleh merangsang pasaran hartanah dan berharap ia bukan inisiatif sekali beri memandangkan trend bekerja secara bebas dan separuh masa semakin meningkat.

Beliau bagaimanapun mencadangkan skim itu dihadkan kepada hartanah yang sudah siap, bukan untuk projek yang sedang dibina.

Pemaju Anthony Adam Cho dari Melaka berkata, inisiatif itu akan membantu mereka yang tidak mempunyai sejarah pengadaran kredit untuk membeli rumah, namun belum mencukupi untuk mengatasi masalah lebihan hartanah yang tidak terjual.

Sebaliknya, beliau mencadangkan penubuhan sebuah lembaga perumahan kebangsaan untuk membeli hartanah mampu milik dan kemudian menyewakannya kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.