
Proses pemilihan itu berjalan lancar dengan kira-kira 70% daripada 24,000 perwakilan yang layak mengundi di 4,000 cawangan keluar mengundi, iaitu bilangan terbesar bagi mana-mana parti politik.
Beberapa individu dalam parti itu berkata, pemilihan yang tenang ini mencerminkan kawalan penuh Presiden SA Vigneswaran dan Timbalannya, M Saravanan, tetapi ada pula yang menganggap ketenangan luar biasa itu berkait dengan “ketidakpentingan” MIC yang semakin ketara dan bilangan kerusi yang terhad yang dijangkakan diterimanya pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).
Perhimpunan agung parti itu yang akan diadakan pada 12 Dis itu “mungkin tiada agenda penting untuk dibincangkan”.
“Pimpinan mengambil kesempatan atas pemilihan yang luar biasa lancar ini untuk memanggil perhimpunan tahunan dan mula bersiap sedia menghadapi PRU15 yang akan menyaksikan calon MIC berkurangan berbanding sebelum ini,” kata seorang pemimpin.
“Tiada kelihatan bantahan terbuka pada pemilihan dan nampaknya sebarang tentangan kini berada di bawah kawalan Presiden dan Timbalan Presiden sepenuhnya. Lebih-lebih lagi sekarang setelah kebanyakan orang mereka telah diundi.
Persoalan yang timbul kini adalah mengenai “nada” yang akan digunakan oleh Presiden dalam ucapan dasarnya memandangkan beliau pernah mengeluarkan kata-kata tegas pada April di perhimpunan yang ditangguhkan tahun lepas ketika Muhyiddin Yassin yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), menjadi Perdana Menteri.
Vigneswaran memuji Muhyiddin kerana memberikan jawatan menteri kepada MIC walaupun tidak disyorkan oleh Barisan Nasional (BN) dan hanya mempunyai seorang Ahli Parlimen. Sebilangan pemimpin terkejut apabila beliau berkata, MIC akan terus menyokong Muhyiddin walaupun Umno menarik sokongan kepada PN hanya seminggu sebelum itu.
“Senarionya berbeza ketika itu. Apakah yang anda harapkan beliau katakan minggu depan? Sudah tentu, beliau akan memuji-muji Umno dan BN. Pilihan raya negeri (PRN) Melaka menunjukkan bahawa MIC akan kehilangan satu-satu kerusinya jika ia berada di bawah PN,” katanya.
Satu lagi sumber berkata, Vigneswaran menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap Umno pada masa lalu kerana mengiktiraf parti berasaskan kaum India yang menjadi pesaingnya seperti Barisan Kemajuan India dan Makkal Sakthi dengan mengorbankan MIC yang dipercayai telah banyak berkorban selama ini.
“Namun dalam senario politik semasa, MIC tiada pilihan selain mengisytiharkan sokongannya kepada Umno bagi memastikan ia tidak ditumpaskan pada PRU15,” katanya.
Bagaimanapun Naib Presiden parti, T Mohan, yang memperoleh undi terbanyak dalam kalangan tiga naib presiden yang dilantik, menafikan parti itu perlu merayu pucuk pimpinan Umno untuk mendapatkan sebanyak mungkin kerusi.
Katanya, terdapat kira-kira 40 kerusi di negara ini di mana lebih 15% pengundinya orang India dan ini menjadikan MIC relevan bagi gabungan itu.
“Ini lebih-lebih lagi jika PN dan BN berpisah pada PRU15. Kita boleh membantu memberi keseimbangan yang memihak kepada BN di kebanyakan kerusi ini. Jadi kelangsungan MIC adalah penting untuk BN kekal berkuasa,” katanya kepada FMT, walaupun parti itu tidak menjangkakan akan diberi kerusi sebanyak yang diperolehinya sebelum ini.
Beliau berkata, dari segi jentera parti di akar umbi, tiada siapa yang boleh mengalahkan Umno, MIC dan PAS yang boleh membantu mempengaruhi kempen ke arah mereka.
Katanya, beliau menjangkakan MIC akan sedikit sebanyak pulih pada PRU15 memandangkan ramai golongan profesional muda kini mula menyertai parti itu.
“Ada antara mereka yang berfikiran berbeza kebelakangan ini. Berbanding berjuang membuat tuntutan dari luar, mereka rasa lebih baik menjadi sebahagian daripada MIC yang mempunyai pengaruh ke atas kerajaan yang memerintah.”