
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan kerajaan untuk kembali menahan Awang Sari Lasikan, 34, bawah Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) selama dua tahun, mulai 9 Mac 2020.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, memutuskan bahawa pihak berkuasa telah menangguhkan tugas mereka untuk menyediakan laporan dalam mengesyorkan penahanan lanjut Awang Sari atau sebaliknya kepada Menteri Dalam Negeri.
Mengikut Akta Dadah Berbahaya, individu yang disyaki terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah boleh ditahan selama 60 hari dan penahanannya boleh dilanjutkan sehingga dua tahun oleh Menteri Dalam Negeri, atas cadangan pegawai inkuiri.
“Rekod menunjukkan bahawa selepas hari keempat dia ditahan, tiada siasatan lanjut dibuat susulan.
“Oleh itu, tiada sebab untuk menangguhkan penyerahan laporan kepada menteri,” kata Tengku Maimun.
Beliau juga menegaskan bahawa pegawai inkuiri yang bertanggungjawab mengambil masa 36 hari lagi selepas Awang Sari menjalani tahanan 60 hari pertamanya untuk menyiapkan laporan itu.
Hakim lain yang bersidang hari ini adalah Mohd Zawawi Salleh dan Nallini Pathmanathan.
Tengku Maimun berkata, pegawai yang bertanggungjawab menangkap individu bawah undang-undang pencegahan perlu mengutamakan kes sedemikian kerana kebebasan tahanan menjadi taruhan.
“Jika masa yang berlebihan diambil untuk mengeluarkan laporan tersebut, ia akan mempengaruhi tempoh tahanan,” katanya.
“Menteri boleh membuat keputusan lebih awal jika laporan itu tersedia dan mungkin tidak mengeluarkan perintah lanjut mengenai penahanan seseorang.”
Awal tahun ini, Awang Sari dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mahkamah membenarkan permohonan habeas corpus yang dikemukakannya.
Pesuruhjaya Kehakiman Norsharidah Awang memutuskan bahawa perintah tahanan yang ditandatangani oleh bekas Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin adalah “cacat”, kerana Muhyiddin tidak menandatanganinya menggunakan nama sebenar mengikut MyKad, iaitu Mahiaddin Md Yasin.
Bagaimanapun, mengenai isu “perintah cacat” itu, Tengku Maimun berkata, Mahkamah Persekutuan tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah rendah berkenaan.
“Kami berpendapat ada merit dalam hujah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Hanya ada seorang menteri pada masa itu,” katanya.
Peguam Kanan Persekutuan Farah Ezlin Yusop Khan mewakili KDN, manakala peguam Nur Astry Amami Agus Pemana mewakili Awang Sari.