Jadi kontak rapat Covid-19, Rayer persoal Najib hadir Parlimen tak hadir mahkamah

Jadi kontak rapat Covid-19, Rayer persoal Najib hadir Parlimen tak hadir mahkamah

Ahli Parlimen Jelutong membangkitkan isu itu selepas mengetahui Najib Razak tidak menghadiri perbicaraannya di Mahkamah Rayuan pagi tadi.

RSN Rayer berkata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon perlu mengambil perhatian dalam isu berkenaan supaya sistem demokrasi negara tidak dipermainkan pihak tidak bertanggungjawab. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoal tindakan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak yang hadir ke sidang Parlimen kelmarin, walaupun dilaporkan menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

Beliau membangkitkan isu itu selepas mengetahui Najib tidak menghadiri perbicaraannya di Mahkamah Rayuan pagi tadi.

“Saya telah membaca laporan portal-portal dalam negara, Ahli Parlimen Pekan yang sepatutnya hadir ke Mahkamah Rayuan pagi tadi, tidak hadir dan mohon penangguhan kerana dikatakan telah menjadi kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

“Namun, kelmarin YB Pekan telah hadir ke Parlimen. Jadi, adakah beliau sudah menjalani saringan?” soalnya di Dewan Rakyat.

Justeru, Rayer menggesa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon mengambil perhatian isu tersebut agar sistem demokrasi negara tidak dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Seterusnya, saya ingin katakan kita sebagai negara demokrasi, perlu menghormati tiga cabang iaitu Parlimen, Eksekutif, dan bidang Kehakiman.

“Saya tidak mahu pihak tertentu mengambil kesempatan untuk hadir di Parlimen tetapi tidak di mahkamah. Saya minta untuk perkara ini diambil perhatian,” katanya.

Rashid kemudian berkata, pihaknya mengambil maklum perkara tersebut dan akan membuat pemeriksaan untuk membuat ujian air liur bagi saringan Covid-19.

Awal hari ini, media melaporkan permohonan Najib pagi tadi untuk menjalani prosiding memasukkan keterangan baharu dijalankan secara hibrid.

Ia susulan salah seorang peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri itu positif Covid-19 selepas menghadiri majlis sambutan bersama keluarga dan rakan, Sabtu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.