
Beliau berkata, SOP itu “tidak wajar dan tidak adil”, selain mempersoalkan keputusan membenarkan ceramah diadakan di 64 kawasan yang mempunyai liputan internet yang lemah.
Walaupun peraturan itu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa itu berkata, SOP itu dirangka oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Chong, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak berkata, nampaknya nyawa rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar tidak begitu penting sekali gus memberi amaran bahawa mereka akan lebih terdedah kepada penularan wabak itu.
Beliau turut mempersoalkan mengapa ceramah hanya dibenarkan diadakan di tempat tertutup, sedangkan pakar kesihatan berulang kali menyatakan bahawa perhimpunan dan acara sedemikian perlu diadakan di luar untuk menjamin pengudaraan lebih baik bagi membendung penularan virus.
“SOP (berkaitan ceramah) tidak dirangka dengan tujuan mengawal wabak, tetapi untuk memanipulasi pilihan raya demi keuntungan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya pada satu sidang media.
“Dengan melakukan itu dan melaksanakan SOP, kerajaan GPS, melalui JPBN, mengutamakan kepentingan politiknya berbanding nyawa dan kesihatan rakyat Sarawak.
“Soalan saya kepada Dr Sim Kui Hian, Penasihat JPBN adalah: Apa yang telah anda nasihatkan kepada JPBN sehingga ia merangka SOP sedemikian yang tidak membantu dalam usaha membendung wabak?”
Chong, yang bertanding di kerusi Padungan juga berkata, hakikat bahawa 64 daripada 82 kawasan DUN di Sarawak mempunyai liputan internet yang lemah adalah bukti prestasi buruk GPS dalam mentadbir negeri itu sejak 50 tahun lalu.
Ditubuhkan pada 2018, GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), yang kesemuanya adalah sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) dan mentadbir negeri itu sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Chong turut menyebut bagaimana kanak-kanak yang tinggal di 64 kawasan DUN itu bergelut dengan pelajaran apabila sekolah ditutup dalam tempoh dua tahun lalu.
Beliau memuji tindakan calon Batu Kawah Dr Kelvin Yii yang pergi ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat tergempar dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengenai varian Omicron kerana mengetepikan kempen pilihan rayanya selama satu hari demi “kepentingan negara” dan mempersoalkan mengapa Sim tidak berbuat perkara sama.
“Adakah beliau meletakkan kempen pilihan rayanya mengatasi kepentingan negara untuk melawan Omicron? Itu soalan saya kepadanya.
“Saya menggesa rakyat Sarawak melihat gambaran besarnya. Kita tidak mampu mempunyai kerajaan yang mengutamakan kepentingan politik berbanding kepentingan rakyat,” katanya.
Chong juga berkata, DAP akan menulis kepada SPR berhubung beberapa kes alamat pengundi ditukar walaupun telah mengundi di Kuching untuk beberapa PRN.
Beliau mendakwa, terdapat satu kes seorang lelaki yang telah mengundi di sini dalam dua PRN ditukar alamatnya ke Sarikei dan seorang wanita yang mendapat tahu lokasi mengundinya dipindahkan semula ke Sibuti.
“Saya menyeru semua pengundi di luar supaya menyemak maklumat mereka di laman sesawang SPR dan untuk itu kami juga akan menyediakan ‘booth’ untuk menyemak butiran pendaftaran bagi membantu mereka mengenal pasti lokasi mengundi,” katanya.