
Sehubungan itu, menerusi Bajet 2022, inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia memberi jaminan bahawa 600,000 peluang pekerjaan bakal tersedia dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion.
Kerajaan, melalui PERKESO akan meneruskan usaha pengambilan pekerja menerusi insentif penggajian JaminKerja dengan sasaran 300,000 orang dan peruntukan RM2 bilion.
Pelaksanaan insentif ini bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan oleh majikan dengan menyasarkan golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU), banduan, bekas tentera dan Orang Asli serta golongan wanita untuk kembali bekerja.
Sebagai kesinambungan kepada kejayaan program perantisan sebelum ini, kerajaan akan meneruskan pemberian insentif sebanyak RM900 sebulan selama enam bulan kepada majikan yang menggaji golongan perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun.
Melihat perkembangan ekonomi gig yang memberangsangkan, insentif sebanyak RM900 sebulan selama enam bulan kepada individu yang terlibat dalam pekerjaan gig juga turut disediakan.
Inisiatif “Malaysia Short-term Employment Programme” atau MySTEP pula akan diteruskan dengan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak, merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mulai Januari 2022.
Bajet 2022 turut menyasarkan 220,000 pelatih untuk menjalani pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran dengan peruntukan keseluruhan RM1.1 bilion.
Pelepasan cukai bagi perbelanjaan menghadiri kursus peningkatan kemahiran atau kemajuan diri dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM2,000 sehingga 2023.
Mereka yang menyertai kursus anjuran badan-badan profesional yang diluluskan layak mendapat pelepasan cukai ke atas yuran sehingga RM7,000.
Potongan cukai dua kali dilanjutkan kepada syarikat yang memberi biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan diperluaskan kepada semua bidang pengajian.
Bajet 2022 merupakan satu permulaan yang memberangsangkan dengan bantuan yang diperuntukkan ini sedikit sebanyak dapat membantu rakyat yang terkesan untuk membina kerjaya, selain meningkatkan ekonomi negara.