Zeti izinkan wang RM2.6 bilion dibawa masuk, dakwa penulis blog

Zeti izinkan wang RM2.6 bilion dibawa masuk, dakwa penulis blog

Raja Petra Kamarudin menulis 'kebenaran' tidak dinyatakan sepenuhnya kepada mahkamah berhubung deposit RM2.6 bilion dalam akaun Najib Razak.

Bekas gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, dan bekas peguam negara, Tommy Thomas menjadi tumpuan dalam artikel blog Raja Petra.
PETALING JAYA:
Penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin, mendedahkan apa yang didakwanya sebagai butiran daripada laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung deposit RM2.6 bilion dalam akaun Najib Razak.

Raja Petra berkata, Gabenor Bank Negara ketika itu, Zeti Akhtar Aziz, mengizinkan pegawai tertinggi sebuah bank menerima wang dari luar negara itu.

Beliau menulis, Zeti tahu dan mengizinkan wang berjumlah RM2.6 bilion itu dibawa masuk ke negara ini.

Raja Petra turut menerbitkan satu dokumen yang didakwanya salinan laporan SPRM yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi, bertajuk “Laporan Kes Ambank”.

Penulis blog itu dikatakan berpangkalan di UK.

Dalam artikel sama, Raja Petra mendakwa nama Nor Mohamed Yakcop dinyatakan dalam laporan itu. Beliau adalah bekas Menteri Kewangan II semasa pentadbiran Najib, dari 2008 hingga 2009.

Katanya, Mohamed didakwa mempunyai wang berjumlah RM85 juta dalam satu akaun proksi di Singapura. Wang itu menurutnya berkaitan dengan penawaran sukuk 1MDB pada 2009.

SPRM sudah mengambil keterangan Mohamed namun beliau tidak dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan Najib berhubung dana SRC International.

SRC International merupakan bekas unit 1MDB.

Mahkamah Tinggi tahun lepas menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib yang disabitkan kesalahan atas tujuh tuduhan membabitkan salah guna kuasa, pengubahan wang, dan pecah amanah.

Najib ketika berita ini ditulis sedang merayu terhadap sabitan itu di Mahkamah Rayuan.

Raja Petra dalam artikelnya menuduh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, berbohong apabila mendakwa SPRM belum melengkapkan siasatan semasa beliau menggalas jawatan itu.

Katanya, dokumen yang didakwa laporan SPRM itu menunjukkan siasatan sudah lengkap pada 2019.

Thomas melepaskan jawatan Peguam Negara pada Feb 2020.

Deposit RM2.6 bilion itu menjadi isu kontroversi dan membawa kepada tindakan undang-undang terhadap Najib.

Bekas Presiden Umno itu mendakwa wang tersebut disumbangkan oleh keluarga diraja Saudi.

Raja Petra menulis, Zeti sudah melaksanakan usaha wajar berhubung sumber dana itu – bagi memastikan ia tidak diperolehi secara tidak sah – sebelum mengizinkan ia dibawa masuk.

“Jelas bahawa kebenaran tidak dinyatakan sepenuhnya dan banyak yang disembunyikan daripada pasukan pembelaan Najib dan mahkamah,” kata penulis blog kontroversi itu.

Raja Petra sebelum ini mendakwa suami Zeti dan anaknya menerima dana lebih RM100 juta daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho – yang didakwa dalang sebalik skandal 1MDB.

Bulan lalu, SPRM berkata, sehingga kini ia berjaya memulangkan aset dana 1MDB berjumlah RM20.5 bilion.

Ini termasuk pemulangan aset sebanyak RM64.42 juta membabitkan akaun satu syarikat, Cutting Edge Industries Ltd, yang dikatakan milik suami Zeti, Tawfiq Ayman.

Tawfiq merupakan saksi dalam perbicaraan Najib bagi tuduhan berkaitan 1MDB.

Thomas dalam satu temu bual baru-baru ini mendakwa Zeti dan Tawfiq telah “memudahkan urusan” Low.

Katanya, setakat yang beliau tahu, kertas siasatan SPRM terhadap Zeti dan beberapa yang lain masih belum lengkap.

Raja Petra bagaimanapun mendakwa siasatan itu sudah pun lengkap pada 2019, menurut apa yang dikatakan laporan SPRM itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.