Tegur lelaki tendang kereta, 2 pekerja pembersihan cedera dilibas parang

Tegur lelaki tendang kereta, 2 pekerja pembersihan cedera dilibas parang

Seorang daripada mangsa patah tangan kanan manakala seorang lagi hampir putus telinga kiri dan kini dirawat di Hospital Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata kejadian berlaku pada kira-kira 7.40 pagi apabila kedua-dua mangsa dikatakan menegur suspek kerana menendang bahagian tayar kereta dipercayai milik suspek. (Gambar Bernama)
CYBERJAYA:
Dua pekerja syarikat pembersihan cedera dilibas parang oleh seorang lelaki di kawasan parkir Flat Taman Permata di Dengkil semalam, yang dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan tindakan kedua-dua mangsa menegur perbuatannya menendang kereta.

Akibat libasan itu, seorang daripada mangsa iaitu lelaki berusia 24 tahun mengalami kecederaan termasuk patah tangan kanan manakala seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 41 tahun hampir putus telinga kiri dan kini dirawat di Hospital Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata kejadian berlaku pada 7.40 pagi apabila kedua-dua mangsa dikatakan menegur suspek kerana menendang bahagian tayar kereta dipercayai milik suspek lalu berlaku saling mengeluarkan kata-kata kesat sebelum mereka beredar dari lokasi untuk ke tempat kerja.

“Ini mungkin menyebabkan suspek tidak puas hati dan berdendam,” katanya pada sidang media mengenai Operasi Cegah Jenayah di sini hari ini.

Kamarul berkata, ketika kedua-dua mangsa pulang ke kediaman itu pada kira-kira 12 tengah hari, suspek telah bertindak melibas parang ke arah mangsa di kawasan parkir motosikal.

Rentetan daripada itu, beliau berkata polis menahan suspek berumur 28 tahun itu ketika berada berhampiran premis makanan segera di sebuah pasar raya di Sepang, kira-kira 11.57 malam tadi.

“Tiada senjata ditemui bersama suspek kerana telah dibuang ketika melarikan diri. Polis akan menjalankan siasatan lanjut untuk mencari senjata terbabit,” katanya sambil menambah suspek memiliki dua rekod jenayah lampau melibatkan Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, suspek kini direman enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, Kamarul berkata pihaknya menahan 10 lelaki berusia lingkungan 30 dan 55 tahun kira-kira 7 malam semalam kerana memburu di luar kawasan permit memburu di Jenderam Hulu, Sepang.

Menurutnya, kawasan buruan yang dibenarkan hanyalah di kawasan Serdang bertarikh 2 Sept 2021.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 (b) Akta Senjata Api 1960 dan kesemua suspek dibebaskan kira-kira 11 malam tadi dengan jaminan polis, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.